Tania Hudson menjadi mangsa hendap peminat
Walaupun populariti tidak sehebat kakaknya, Tania tetap dikenali masyarakat malah mempunyai daya tarikan yang tersendiri.Jika tidak, tak adalah sampai dia menjadi mangsa hendap oleh seorang peminat fanatik lelaki selama seminggu.
Kata Tania, lelaki yang berusia 20-an itu telah mengikuti Tania tidak kira di mana saja sama ada ketika di luar atau pulang ke rumah.
“Lelaki tersebut mula mengganggu hidup saya selepas terserempak di sebuah bengkel kereta dan memberitahu bahawa dia merupakan peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan saya. Tak sangka pula selepas itu dia muncul di hadapan rumah dan mengganggu saya dan ibu dengan menekan loceng rumah dengan kerap.
“Tindakan lelaki itu menimbulkan perasaan takut dan bimbang tentang keselamatan diri. Saya turut diberi buah-buahan dan telah bercakap dengannya supaya pulang. Selepas beberapa hari melalui keadaan yang sama, saya terus membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.
Kejadian tersebut membuatkan Tania lebih peka dengan persekitaran dan memastikan dia sentiasa ditemani seseorang setiap kali keluar rumah, lebih-lebih lagi pada waktu malam.
“Sekarang ini saya lebih berhati-hati dengan keadaan persekitaran. Harap pengalaman yang dilalui ini dapat menjadi pengajaran buat semua terutamanya wanita yang pulang dari kerja pada lewat malam,” tuturnya.
mStar