|

Karamjit Ungguli Ralli Malaysia 2012

KUALA LUMPUR - Pada usia 49 tahun, Karamjit Singh membuktikan dia masih unggul apabila merangkul Kejuaraan Rali Malaysia buat kali ke-12 selepas mengungguli pusingan keempat dan terakhir di Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

Karamjit ditabal selaku juara dengan mengumpul 44 mata selepas melengkapkan empat pusingan, termasuk Johor Bahru (April); Kangar (Julai) dan Melaka (November).

Karamjit yang ketinggalan dua mata di belakang juara bertahan, Rafiq Udhaya sebelum memulakan perlumbaan berjaya memintas Rafiq yang menamatkan saingan dengan 42 mata.

Memandu untuk pasukan GSR Pennzoil, Karamjit yang mengendalikan jentera Mitsubishi Lancer gah menakluk peringkat 63.5 kilometer pada hari pembukaan kelmarin, sebelum meneruskan dominasinya pada peringkat 46km semalam tanpa digugat.

Karamjit yang berpasangan dengan juruarah dari India, Viviek Ponnusamy mencatat masa satu jam 36 minit 13.2 saat, manakala gandingan Rafiq dan Sean Gregory dalam Subaru Impreza, muncul naib juara dengan masa satu jam 42 minit 25.5 saat.

Tempat ketiga milik Mike dan Manuthi Arokiasamy yang memandu Proton Satria (satu jam 46 minit 09.5 saat).

"Saya telah mengharungi satu musim panjang dan sukar. Saya amat gembira untuk meraih kejuaraan ke-12, namun saya tidak akan dapat mencapainya jika tanpa sokongan rakan-rakan sepasukan.

"Kejayaan yang saya perolehi adalah atas usaha seluruh pasukan dan saya akan mengintai kejuaraan ke-13 tahun depan. Saya percaya saya masih cukup kuat untuk bersaing dalam rali untuk tempoh beberapa tahun lagi," jelasnya.

Bagi Rafiq, kegagalan mempertahankan gelaran musim ini tidak begitu menghampakannya.

"Saya tewas kepada pemandu yang lebih bagus, semudah itu. Karamjit adalah pemandu rali yang lain dari lain, jadi ditewaskannya bukan sesuatu yang memalukan.

"Mudah-mudahan kami akan kembali dengan lebih kuat untuk merampas kembali gelaran tersebut," tambahnya.

Sementara itu, penganjur Rali Malaysia, Wheel Sport Management mengumumkan musim depan akan menampilkan lima pusingan, tambahan satu kepada empat yang menjadi kelaziman.

Utusan


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 4:55 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Karamjit Ungguli Ralli Malaysia 2012"

Leave a reply

Blogged.my