Najib harap mansuh SBPA 'gembirakan' semua

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap langkah kerajaan memansuhkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diumumkan hari ini, akan meredakan rasa tidak puas hati di kalangan 1.4 juta anggota sektor awam.

"Saya harap keputusan ini dapat meredakan ketidakpuasan hati penjawat awam pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang diumumkan tadi," kata beliau di sini hari ini.

Najib berkata, bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Beliau berkata, SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, sambil menjelaskan bahawa ekoran rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lepas memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam TanSri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan.

Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.

Katanya, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

1:10 AM | Posted in , | Read More »

Cuepacs SSM 'ganti' SBPA hanya interim

Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, berkata Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang hendak digunakan semula sebagai pengganti kepada Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dimansuhkan hari ini, hanya bersifat sementara hingga skim baru yang menyeluruh dirangka kelak.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan memperkenalkan satu sistem saraan yang baru memandangkan SSM digunakan semula dengan SBPA yang pembatalannya diumumkan hari ini.

SSM, yang digunakan hampir satu dekad, diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB). SSB dikuatkuasakan pada Januari 1992.

Kedua-dua SSB dan SSM menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan kerajaan.

"Saya yakin kerajaan akan datang dengan satu sistem yang baru sama sekali, sebab itu kerajaan bentuk satu suruhanjaya bagi menjalankan kajian," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan mengemukakan cadangan tambahan selain berharap suruhanjaya yang dibentuk akan mengkaji segala pandangan yang telah diberikan sebelum ini kepada pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyemak SBPA.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan pagi tadi mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia, Khairil Niza Khairuddin berkata, pihaknya menyambut baik keputusan membatalkan SBPA dan penambahbaikan skim SSM dengan pelarasan gaji yang lebih adil.

"KPISM juga bersetuju sepenuhnya dengan penubuhan suruhanjaya khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dan kewajaran untuk mengkaji dan mewujudkan skim khusus bagi semua agensi penguatkuasaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, KPISM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana prihatin dan mendengar denyutan nadi setiap penjawat awam khususnya pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen.

Menurut Khairil, KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan sentiasa berbincang dan berhubung rapat dengan Cuepacs dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu di masa hadapan.

"KPISM juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar bersedia memberikan gaji minimum kepada semua penjawat awam khususnya penjawat awam di Kumpulan Sokongan agar ia melepasi garis kemiskinan di bandar," kata beliau lagi.

1:09 AM | Posted in , | Read More »

Pelarasan gaji kuat kuasa 1 Januari

Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini akan berkuat kuasa 1 Januari lalu dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Omar berkata, ia berdasarkan kepada perbincangan Cuepacs dengan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini di mana pengumuman itu dibuat.

"Sama ada pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui pemberita selepas itu.

Pada perhimpunan itu Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Najib turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga 54; sembilan peratus untuk Gred Utama dan Gred Khas C,B dan A; lapan peratus Kumpulan Turus III dan Turus II; dan tujuh peratus untuk Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara.

Omar berharap pengumuman itu disambut baik 1.4 juta penjawat awam dan tiada lagi suara tidak puas hati sebaliknya mereka perlu membalas keperihatinan kerajaan dengan bekerja lebih rajin serta berusaha meningkatkan produktiviti.

Mengenai penubuhan suruhanjaya yang akan turut disertai wakil Cuepacs untuk mengkaji secara menyeluruh perkhidmatan awam Malaysia, beliau berharap suruhanjaya itu akan memberi tumpuan kepada tuntutan Cuepacs yang lain.

Mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) beliau berkata, PTK kekal dimansuhkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek).

Omar berkata, umur persaraan wajib 60 tahun dikekalkan. - Bernama

1:08 AM | Posted in , | Read More »

PM: SBPA mansuh, kembali guna Sistem Saraan Malaysia

Skim gaji kakitangan kerajaan, Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan untuk dilaksana berkuat kuasa 1 Januari lalu, akan dimansuhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Sehubungan itu, 1.4 juta kakitangan awam akan tertakluk kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang diguna pakai sebelum ini, dengan dilakukan penambahbaikan.

Perdana Menteri juga berkata, sebuah suruhanjaya khas yang terdiri daripada pelbagai pihak akan dibentuk bagi mengkaji sistem saraan perkhidmatan awam secara menyeluruh.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Najib juga mengumumkan jadual gaji matriks yang dilaksanakan sekarang diubahsuai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut kenaikan tahunan SSM.

Bagi Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA), Najib mengumumkan kenaikan kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B manakala bagi kawasan C dinaikkan kepada RM150 daripada RM100.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu pada perhimpunan khas bersama penjawat awam di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi ini.

Ekoran bantahan sebahagian besar kakitangan awam dan Cuepacs sendiri, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA awal Januari lalu.

Susulan penangguhan itu, kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi melaksanakan semakan semula SBPA dan diberi tempoh tiga bulan untuk membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu.

1:06 AM | Posted in , | Read More »

Fitnah Tudung : Butik Mama saman Fareeda

Seorang usahawan wanita memfailkan saman fitnah RM1 juta terhadap syarikat pesaingnya kerana didakwa memfitnahnya menerusi laman sosial facebook dengan tuduhan meniru tudung keluarannya.

Pengasas Butik Mama, Nor Ainna Ibrahim, 32, dan suaminya, Azman M Salleh selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi peguamnya, Adnan Seman@Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini, jam 11 pagi semalam.

Berdasarkan writ saman, mereka menamakan pemilik perniagaan tudung Fareeda di Bandar Baru Bangi, dekat sini, Faridah Zakaria sebagai defendan.

Antara lain, plaintif mendakwa defendan menerusi fanpage facebook “Fareeda.. Nyata Jelita” yang memiliki 100,000 peminat, secara berniat jahat memaparkan status atau kenyataan berunsur tidak benar dan fitnah.

Terkilan dengan tindakan itu, plaintif menghantar e-mel kepada defendan memohon supaya semua status dan kenyataan itu dipadamkan, tetapi tidak mendapat maklum balas.

Plaintif juga mendakwa menerima laporan dan aduan daripada peniaga Butik Mama yang memberitahu mereka diugut defendan menerusi e-mel dan SMS daripada berniaga produk syarikatnya.

Pihaknya sekali lagi menghantar e-mel kepada defendan untuk membantah tindakan itu dengan menyatakan produk tudung miliknya tidak meniru produk Fareeda.

Selain itu, plaintif memohon defendan menghentikan semua dakwaan yang dikemukakan tanpa bukti dan ugutan terhadap peniaga, tetapi masih tidak mendapat maklum balas.

Plaintif seterusnya mendakwa perkataan fitnah di facebook itu bermaksud pihaknya tidak jujur meniru reka bentuk produk defendan dan melanggar haknya yang didaftarkan dengan Pendaftar Harta Intelek.

Dakwanya, ia juga bererti pihaknya mengamalkan cara tidak jujur dan menipu dalam menjalankan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan mudah.

Menurutnya, ia juga bermaksud defendan mendorong dan menghasut orang ramai untuk memulau, menarik diri atau menjauhi perniagaannya.

Selain itu katanya, ia bererti plaintif adalah individu korup, tidak jujur, tidak bermoral dan tidak tahu malu.

Oleh itu, pihaknya memohon ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi pengajaran dengan faedah empat peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh.

2:36 PM | Posted in , | Read More »

Wanita maut bertembung kereta lain angkara babi hutan melintas

Gambar Hiasan
BESUT: Seorang wanita maut selepas suaminya terlanggar seekor babi hutan yang melintas sebelum kemudiannya terbabas bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan di Kampung Anak Ikan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Noor Azira Md Nayan, 24, yang merupakan pembantu program Kewangan Mikro Bandar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Kuala Terengganu, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Bagaimanapun suami mangsa yang membawa kereta jenis Perodua Myvi, Che Mohd Azmil Che Mohd, 24, bersama seorang lagi pemandu terlibat yang membawa kereta Perodua Kelisa, Marzita Mat Yahya, 32, dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dan ingin menghantar isterinya bekerja.


"Namun semasa perjalanan suami mangsa terkejut apabila seekor babi hutan keluar dari semak di sebelah kiri jalan untuk melintas ke jalan sebelah kanan.

"Pemandu kereta Myvi itu gagal mengelakkan babi itu lalu melanggarnya dan terbabas ke laluan sebelah kanan sebelum sebuah kereta Kelisa yang dipandu dari arah Kuala Terengganu gagal mengelak lalu melanggar kereta berkenaan di bahagian di sebelah penumpang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kemalangan lain petang semalam, Kamaruddin berkata seorang terbunuh dan lima cedera parah selepas dilanggar kereta yang tidak memberhentikan kenderaan di simpang jalan di kilometer 2, Jalan Kampung Raja-Tembila dekat persimpangan Kampung Paya Rawa.

Kejadian pukul 4.15 petang itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Wira, Mohamad Zain Junus, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di bahagian kepala dan badan.

Turut cedera parah ialah isteri mangsa, Bidah Junus, 45, dan tiga anaknya, serta pemandu sebuah lagi kereta Mohd Zaitu Mohd Zahid, 45, yang tinggal di Rumah Awam Kos Rendah, Kampung Anak Ikan, Besut.

Katanya mangsa dan keluarga dikatakan baru balik dari menghadiri majlis kenduri kahwin saudaranya di Cheneh, Kemaman.

"Kejadian berlaku apabila Mohd Zaitu yang memandu kereta jenis Proton Wira telah keluar dari persimpangan Jalan Sekolah Menengah Teknik Besut untuk ke kiri menuju Kuala Terengganu tanpa berhenti di simpang berkenaan.

"Namun pada masa yang sama datang kereta yang dipandu Mohamad Zain dari arah Kuala Terengganu menuju ke arah Kampung Raja yang tidak sempat mengelak lalu menyebabkan perlanggaran," katanya.

Kesemua yang cedera dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut. -- BERNAMA

3:39 PM | Posted in , | Read More »

(Gambar) Proton P3-21A dilancar bulan ini

Proton Holding Bhd (Proton) bakal memperkenalkan model baru keluarannya dengan nama kod P3-21A yang mengetengahkan gabungan prototaip konsep Tuah bakal membawa perubahan dalam industri automotif nasional diumumkan 16 Mac ini.

Menurut sumber laman sesawang automotif, Proton P3-21A ditawarkan dalam dua varian, iaitu model Executive dan model Premium dianggarkan bernilai RM65,000 sehingga RM75,000.

P3-21A dilengkapi enjin CamPro 1.8L dan 2.0L serta sistem pengecas turbo., adalah kenderaan pertama didatangkan dengan internet berkelajuan tinggi daripada pembekal perkhidmatan internet YTL Communications, Yes 4G.

Mungkinkah P3 21A model gantian bagi model Persona sedia ada? Terdapat banyak spekulasi yang bermain di fikiran pengguna tentang model terbaru proton itu adalah Proton Tuah yang pernah dipertontonkan sebelum ini? Untuk kepastian umum, nantikan pelancaran rasmi Proton pertengahan Mac ini.

Gambar : Paultan.org

3:24 PM | Posted in , | Read More »

Gaji minimum: Dr M bimbang Malaysia boleh muflis

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang Malaysia mungkin menghadapi kesukaran kewangan yang serius atau menjadi muflis seperti Barat jika kerajaan membayar lebih untuk kurang bekerja.

Beliau berkata, ini boleh berlaku apabila gaji atau pampasan untuk bekerja tidak diikuti dengan pertambahan produktiviti.

"Kita semua mahu menyaksikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. Namun kita mesti juga bimbang mengenai daya persaingan kita.

"Menambah pendapatan mesti meningkatkan kos pengeluaran melainkan produktiviti turut bertambah," katanya dalam entri terbaru dalam blog beliau di bawah tajuk Gaji Minimum, hari ini.

Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum bulan ini.

Beliau berkata Barat kini menghadapi masalah kewangan yang gawat dengan sekurang-kurangnya sebuah negaranya menjadi bankrap selepas membayar lebih kepada rakyat mereka.

"Upah dan gaji yang tinggi, bonus yang besar dan pelbagai manfaat seperti bayaran untuk pengangguran menjadikan nagara Barat kelihatan makmur. Tetapi cara boros mereka tidak boleh berterusan.

"Saya bimbang Malaysia mungkin menuju ke arah ini jika kita membayar lebih untuk kurang bekerja, seperti yang kita lakukan sekarang," kata beliau.

Dr Mahathir berkata dengan Malaysia mempunyai terlalu banyak cuti, termasuk cuti hujung minggu dan cuti umum untuk perayaan bagi semua agama, produktiviti akan menurun.

"Kita sekarang menggantikan secara automatik cuti umum yang jatuh pada Ahad atau Sabtu dengan hari yang lain.

"Jadi bukan mudah untuk meningkatkan produktiviti dengan pertambahan gaji minimum yang akan meningkatkan kenaikan bayaran secara keseluruhan, agar dapat mengekalkan persamaan antara gred pekerja yang berbeza.

"Bekerja pada hari cuti akan turut memakan kos lebih. Begitu juga dengan sumbangan kepada KWSP dan kadar pencen," katanya dipetik Bernama.

Dr Mahathir berkata antara gaji lebih tinggi dan masa bekerja yang lebih pendek dicampur dengan kos yang lain, maka kos pengeluaran barangan dan perkidmatan mesti turut meningkat dengan sewajarnya.

10:07 AM | Posted in | Read More »

Bilionair Malaysia 11 orang, tambah lagi satu!

SINGAPURA - Seramai 40 rakyat Malaysia terkaya bernilai AS$64.4 bilion, meningkat AS$2.3 bilion daripada tahun sebelumnya, demikian menurut senarai terkini Forbes.

Kebanyakan mereka tidak banyak berubah berbanding tahun sebelumnya.

Robert Kuok mengekalkan gelarannya sebagai orang terkaya di Malaysia dengan nilai bersih AS$12.4 bilion, turun sedikit daripada AS$12.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Kuok, 88, memegang kedudukan tertinggi itu sejak 2006 apabila Forbes Asia mula menetapkan ranking 40 rakyat Malaysia terkaya, dengan empayar gulanya yang luas, minyak sawit, perkapalan dan hartanah.

Di tempat kedua ialah Ananda Krishnan, 73, yang menyaksikan nilai meningkat daripada AS$400 juta kepada AS$9.9 bilion.

Beliau membeli dalam portfolio kuasa di Malaysia, Asia Selatan dan Timur Tengah dalam urus niaga yang boleh mencapai AS$2 bilion. Syarikat beliau, Maxis Communications, pembekal perkhidmatan telefon bimbit terbesar negara ini, baru-baru ini memeterai perjanjian 10 tahun untuk berkongsi rangkaian 3G dengan saingan UMobile.

Di tempat ketiga ialah Lee Kim Hua, yang aset bersihnya susut hanya 1.5 peratus kepada AS$6.5 bilion.

Keluarga di belakang empayar perjudian Genting kini mendapat perhatian media dengan usaha untuk mengembangkan operasi di Amerika Syarikat.

Anak Lee, Lim Kok Thay, yang menguruskan Genting Group, menyaksikan kekayaannya susut sembilan peratus kepada AS$605 juta.

Lee Shin Cheng, yang membina IOI Group kepada salah satu daripada pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, mengekalkan kedudukan beliau di tempat keempat
dengan nilai bersih AS$5.2 bilion, meningkat sebanyak AS$200 juta daripada tahun lepas.

Malaysia kini mempunyai 11 bilionair, naik daripada 10 pada tahun lepas, setelah adik-beradik Lee Oi Han dan Lee Hau Hian, yang menguasai syarikat sawit dan kimia Batu Kawan, menyaksikan nilai bersih mereka meningkat.

Harta mereka melonjak 22 peratus setelah saham dalam Batu Kawan meningkat dengan harga minyak sawit yang lebih tinggi.

Tiga pendatang baru dalam senarai iaitu Ninian Mogan Lourdenadin, doktor yang beralih menjadi hartawan runcit, disenaraikan pada No. 22 dengan nilai
AS$500 juta.

Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBF Holdings dan menjalankan empayar perniagaan harta, runcit, riadah dan perubatan yang meliputi Malaysia hingga ke Fiji, Papua New Guinea dan Australia.

Seorang lagi pendatang baru ke dalam senarai ialah Gooi Seong Lim yang mengetuai Crescendo, syarikat pembangunan hartanah dan pembinaan. Beliau berada di kedudukan No.34 dengan nilai AS$220 juta.

Ng Joo Siang, juga memasuki senarai untuk kali pertama di No. 37 dengan nilai AS$185 juta.

Beliau yang berusia 52 tahun mengambil alih Pacific Andes International Holdings, perniagaan keluarga daripada bapanya.

Tambahan kepada tiga penyertaan baru, dua kembali ke senarai: Kua Sian Kooi, Pengerusi Eksekutif syarikat insurans auto Kumia Asia dengan nilai bersih US$160 juta; dan Khoo Kay Peng, Pengerusi Malayan United Industries, dengan nilai bersih AS$155 juta.

Secara keseluruhan, 21 jutawan dalam senarai itu menyaksikan peningkatan kekayaan mereka manakala 12 mengalami kejatuhan dan dua kekal sama.

Tahun ini, nilai bersih minimum sebanyak AS$155 juta diperlukan untuk layak dalam senarai, meningkat daripada AS$125 juta tahun lepas.

Berbeza dengan kedudukan bilionair, senarai Malaysia termasuk harta yang dikongsi di kalangan keluarga yang besar. Senarai telah disusun menggunakan pegangan saham dan maklumat kewangan yang diperoleh daripada keluarga dan individu, bursa saham, penganalisis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Nilai bersih berdasarkan harga saham dan tukaran asing sehingga pada 14 Februari 2012. - Bernama

9:01 AM | Posted in , | Read More »

Kerajaan Mansuh 2 Tol Lebuhraya Cheras-Kajang

Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan pemansuhan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang, berkuatkuasa tengah malam ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan itu akan mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan Lebuh Raya Cheras-Kajang sebanyak 50 peratus, atau pengurangan bayaran tol daripada RM3.80 kepada RM1.90 untuk dua hala.

"Ini adalah usaha dan perjuangan kerajaan Barisan Nasional sejak 2009 lagi dan hari ini kerajaan jadikan kenyataan," katanya pada majlis pecah tanah projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Bandar Sungai Long di sini.

Perdana Menteri berkata ia juga adalah merupakan janji yang pernah diungkapkan pada 21 Ogos 2011 supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji kadar tol di lebuh raya itu untuk meringankan beban pengguna.

Beliau berkata, sekarang terbukti kerajaan Barisan Nasional (BN) bukanlah kerajaan yang sekadar memberi janji kosong, termasuklah pembangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) di Hulu Langat yang keperluan sekolah itu disuarakan pada lawatan beliau ke kawasan itu tahun lepas.

Pada awalnya pembinaan sekolah itu adalah untuk sekolah kebangsaan tetapi memandangkan keperluan yang lebih mendesak untuk majoriti kaum Cina di kawasan tersebut maka kerajaan bersetuju untuk membina sekolah Cina, katanya.

"Jangan pula nanti pihak pembangkang mainkan isu kononnya merekalah yang memperjuangkan usaha pembinaan sekolah tersebut dan nak jadi juara.

"Apa yang rakyat hendak lihat ialah pembinaan sekolah menjadi kenyataan, bukan kain rentang tanda bantahan. Mungkin lambat sikit tetapi yang penting apa yang dijanjikan ditunaikan bak kata pepatah "biar lambat asal selamat".

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM4.5 juta untuk membiayai sebahagian kos pembinaan sekolah berkenaan.

Sekolah itu akan dibina di tanah seluas 2.4 hektar. Ia mempunyai 36 buah bilik darjah untuk kemudahan 1,500 murid di kawasan berkenaan.

Najib menjelaskan bukan mudah untuk memutuskan mengenai pembinaan sekolah tersebut memandangkan kesukaran mendapatkan tapak, disebabkan itu kerajaan bersetuju untuk membina SRJK (C) itu di tanah bernilai RM20 juta.

"Jika pembangkang bising bagilah tapak yang lain, kenapa tak bagi tapak lain sedangkan mereka ada kuasa untuk luluskan tapak lain, mereka tak bagi tapi mereka buat bising, kononnya mereka yang memperjuangkan kepentingan masyarakat di situ," katanya sambil diiringi tepukan gemuruh orang ramai yang hadir.

Beliau menegaskan soal pendidikan bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan dipolitikkan, hakikatnya mesti mencari jalan penyelesaian, yang mana hari ini terbukti kerajaan BN mampu membawa penyelesaian kepada masyarakat Cina di kawasan berkenaan.

"Jika ada kelemahan tertentu, kita bersedia mendengar suara rakyat, saya tidak takut dan saya kata kalau tidak betul InsyaAllah kita akan betulkan tetapi jangan ada pihak menidakkan jasa yang terbesar selama ini ialah jasa yang dibawa kerajaan BN," katanya.

10:19 PM | Posted in , | Read More »

Ustaz Badrolamin dakwa pembantunya cuba disogok!

SEREMBAN – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrolamin Bahron mendakwa pembantunya ditawarkan imbuhan lumayan oleh sekumpulan lelaki sebagai dorongan supaya menjadi saksi memburukkannya.

Menurut Badrolamin, pembantunya itu diugut supaya memberi kerjasama dan ditawarkan upah lumayan bagi membantu menjayakan satu rancangan pihak tersebut.

“Ketika saya berada di Kuantan, pembantu saya didatangi enam lelaki dengan nada memujuk dan mengugut meminta supaya memberikan kerjasama.

“Sekiranya dia (pembantu) sanggup berikan kerjasama dengan menceritakan kononnya saya begitu dan begini, dia akan diberikan imbuhan lumayan,” katanya semasa menyampaikan ceramah sulungnya di Ampangan, dekat sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Badrolamin berkata, pembantunya itu kuat semangat tidak melayan tawaran berkenaan sebelum memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, dia dan pembantunya bercadang membuat laporan polis dalam masa terdekat ini bagi membersihkan kembali namanya berikutan kejadian ditangkap khalwat lalu.

Sementara itu, Badrolamin juga berkata akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu serta stesen televisyen tempatan kerana menyiarkan laporan khalwatnya.

Malah, beliau turut memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz kerana mengeluarkan kenyataan dalam kedua-dua media itu.

“Selepas keterangan saya dan wanita terbabit diambil, Jaip mendapati dakwaan saya berdua-duaan adalah tidak benar dan pihak jabatan agama juga menerima sendiri kenyataan itu.

“Dengan itu, kenyataan Mohd Ghazali bahawa saya ditangkap berdua-duaan adalah terbatal, begitu juga laporan media berkenaan bahawa kami ditangkap berkhalwat adalah tidak benar.

“Sehubungan itu, kami akan me ngambil tindakan undang-undang terhadap kedua-duanya,” katanya.

8:10 AM | Posted in , , | Read More »

Wanita kes Ustaz Badrolamin: Kami tidak berkhalwat!

ROMPIN - Media digemparkan dengan berita anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrolamin Bahron ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Kuantan, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam Sinar Harian semalam, Badrolamin menafikan laporan tersebut dan menegaskan, beliau hanya mahu membantu seorang wanita yang berhadapan dengan masalah keluarga.

Sinar Harian berjaya menjejak wanita didakwa berkhalwat dengan Badrolamin itu. Apa sebenarnya kisah di sebalik kejadian?

Walau enggan namanya disiarkan, namun wanita itu tidak keberatan berkongsi cerita dan menerangkan kedudukan sebenar kepada pembaca Sinar Harian khasnya. Ikuti pengakuan eksklusif daripada beliau.

“Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!

“Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrolamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!

“Saya berada di luar bilik hotel. Bukan bersama ustaz dalam sebuah bilik seperti dakwaan.

“Namun kerana tindakan khianat itu, ustaz kena kurung dan dibelasah dalam biliknya.

“Saya pergi menemui ustaz Badrolamin atas tujuan mahu melarikan diri daripada suami, bersama anak saya yang berusia dua tahun. Saya bimbang keselamatan kami terancam.

“Saya sudah puas berusaha dan tidak mampu lagi menanggung segala bebanan ini.

“Saya memang kenal rapat ustaz dan isterinya sejak mengikuti rombongan umrah pada 1 Mei tahun lalu dan kami sering berhubung antara satu sama lain.

“Ustaz pun ada datang ke sini (Rompin) dan saya juga mengenali rapat isteri beliau. Malah isterinya juga menasihatkan saya supaya bersabar menghadapi kes fitnah ini.

“Saya juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menuding jari tanpa beri kami peluang untuk bela diri, sedangkan kes ini belum diputuskan di mahkamah.

“Tambah kesal kerana ada pihak menabur fitnah dengan meletakkan gambar palsu dan wajah yang tersebar di Internet bukan saya,” katanya.

Kakitangan di Kolej Komuniti Rompin berusia 28 tahun itu ke mahkamah semalam, bagi sebutan kesnya di hadapan Hakim Syarie, Abu Kasim Pilus, kira-kira jam 11.15 pagi, sebelum keluar semula kira-kira 10 minit selepas memberi keterangan.

Beliau hadir seorang diri di Mahkamah Rendah Syariah Rompin pada jam 9 pagi semalam. Beliau ke sana bagi proses tuntutan penceraian terhadap suaminya.

“Saya nekad mengemukakan tuntutan cerai memandangkan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga gagal.

“Itulah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan dan masa depan saya serta anak terbela,” katanya.

Ketika ditanya adakah punca dia menuntut cerai disebabkan sikap suaminya, wanita itu enggan mengulas dan mahu isu berkenaan diselesaikan di mahkamah nanti.

4:25 PM | Posted in , , | Read More »

Jakim: Hadis palsu ibarat dusta terhadap Nabi

Sesiapa yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis "palsu" dianggap telah melakukan pendustaan besar terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Jika mereka ini berniat jahat, ia boleh menyebabkan umat Islam hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap agama mereka," kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha kepada Bernama.

Sambil melahirkan rasa bimbang terhadap penggunaan hadis palsu yang kini menular di Internet, beliau berkata ia boleh menyebabkan umat Islam beramal dengan suatu syariat yang salah kerana hadis berkenaan tidak berlandaskan sumber rujukan yang diperakui kesahihannya.

Othman berkata mereka yang terlibat menggunakan hadis daif dan palsu disebarkan melalui blog atau laman sosial peribadi ini, kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai hadis.

"Ada pula yang tidak dapat membezakan antara kata-kata sahabat atau hukamak (cendekiawan) dengan hadis Nabi. Mereka menganggap semua itu sama sahaja daripada segi statusnya," katanya.

Othman berkata hukum mengguna dan menyebarkan hadis palsu adalah haram di samping bererti suatu pengkhianatan kepada syariat Islam itu sendiri.

Beliau berkata jika hendak menyebarkan sesuatu hadis kepada umum, sama ada melalui media cetak, media eletronik atau media baru, ia mestilah terlebih dahulu merujuk kepada mereka yang arif tentang hadis atau daripada sumber yang muktabar.

Kesalahan menyebarkan hadis palsu boleh dikenakan tindakan mengikut pelbagai seksyen seperti mencerca agama dan penerbitan agama bertentangan dengan hukum syarak.

Kesalahan ini terletak di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, Seksyen 13 (1).

Othman berkata tindakan boleh juga diambil mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Memandangkan kesalahan ini dilakukan di alam siber, pihak berkuasa agama negeri perlu mendapat kerjasama daripada pihak yang mempunyai bidang kuasa dan kepakaran khususnya Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya.

Othman berkata penyebaran seumpama itu akan memberi kesan yang besar kerana ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja di serata tempat.

"Perbuatan ini seolah-olah menyebarkan fitnah dan pendustaan terhadap Rasulullah SAW kepada seluruh umat manusia dan merosakkan aqidah umat Islam dan kewibawaan nas-nas syarak itu sendiri," katanya.

Beliau berkata berdasarkan penelitian Jakim, masih banyak kes yang berbentuk menghina Islam dan Rasulullah SAW yang dibuat secara terang-terangan, namun ia sentiasa dipantau.- Bernama

8:46 AM | Posted in , | Read More »

Permohonan maaf dari The Star mengenai foto hina Islam


The Star pada hari ini telah pun menulis di dalam laman sesawangnya satu permohonan maaf mengenai tersiarnya satu foto artis barat yang tertera di bahunya tulisan Allah.
A photograph of American singer Erykah Badu with tattoos of various symbols, including the Arabic word for Allah, was inadvertently published in Star2 today. We sincerely apologise to Muslim readers for this oversight.
Akibat kurangnya sensitiviti terhadap agama, The Star juga dipinta mengemukakan laporan penjelasan rasmi kepada pihak berwajib.

12:44 AM | Posted in , | Read More »

The Star Diminta Perjelas Penyiaran Gambar Penyanyi Bertatu Allah

KUALA LUMPUR, 27 Feb - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memanggil The Star untuk memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar seorang penyanyi wanita Amerika Syarikat yang mendedahkan bahagian atas dadanya, yang tertera tatu perkataan "Allah" dalam akhbar itu.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Lee Chee Leong berkata KDN memanggil Pengarang Urusan, Ketua Pengarang Berita dan Pengarang Kanan The Star untuk memberi penjelasan mengenai tindakan akhbar itu menyiarkan gambar berkenaan dalam edisinya Isnin.

Beliau berkata akhbar itu juga akan diberi Surat Tunjuk Sebab untuk memberi penjelasan bertulis dalam masa seminggu kepada KDN.

"Tindakan susulan akan dibuat berdasarkan kepada penjelasan yang diberikan (akhbar itu kepada KDN)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam ruangan muziknya, The Star menyiarkan gambar penyanyi "funk", "hip-hop" dan "soul", Erykah Badu, 40, yang menunjukkan wajah dan bahagian atas dadanya.

- BERNAMA

12:35 AM | Posted in , | Read More »

Faktor sosiobudaya galakkan warga China jadi pelacur 'freelance' di Malaysia

Polis mendapati faktor bahasa dan pemakanan yang tidak jauh berbeza antara negara China dan Malaysia menjadi punca lambakan pelacur warga China menjadikan negara ini sebagai destinasi kerjaya maksiat "freelance" mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata pelacur warga Republik China juga lebih selesa dengan suasana iklim di negara ini kerana tidak jauh berbeza keadaannya daripada negara mereka, terutama di bahagian selatan China.

Beliau berkata pelacur warga China itu bertutur dalam Mandarin dan ini memudahkan mereka untuk bergaul dengan masyarakat Cina di negara ini serta makanan di negara ini juga hampir sama dengan tempat asal mereka.

“Sosiobudaya yang seakan-akan sama dengan kita dari segi bahasa, pemakanan dan cuaca selain kemudahan pengangkutan menjadi galakan kepada pelacur di sana datang ke negara ini.

"Kos yang murah dalam sistem pengangkutan contohnya ada ‘penerbangan kos murah’ dan mudah untuk dicapai melalui internet menjadi pemangkin untuk mereka hadir ke negara ini," katanya kepada Bernama.

Abdul Jalil berkata pendedahan itu dibuat setelah pihak polis menyoal siasat 13 wanita warga China yang ditahan dalam serbuan kerana menyalahgunakan pas pelajar dan salah guna pas lawatan sosial pada 16 Feb lepas di sebuah pusat urut, di Sri Petaling, Brickfields.

Beliau berkata mengikut siasatan awal, pelacur warga China yang pernah memasuki Malaysia sebagai pekerja seks melalui sindiket, akan kembali semula bekerja di negara ini menggunakan visa pelajar dan menjalankan kegiatan pelacuran secara 'freelance' kerana pendapatan yang lumayan.

"Ada dua taktik pertama iaitu mereka akan menggunakan ejen atau sindiket untuk bawa mereka masuk tetapi apabila mereka dah duduk sini mungkin dalam setahun, dah tahu kawasan, mereka akan gunakan pula taktik kedua iaitu dengan berpatah balik tanpa melalui sindiket.

“Mereka berani dan tidak ada masalah untuk datang secara sendiri kerana mereka dah tahu nak pergi mana, bekerja di mana, tahu sistem pengangkutan di Malaysia contohnya turun di LCCT, naik bus RM9 pergi ke KL Sentral kemudian naik teksi ke Pudu dengan kos RM20, sebelum menetap di rumah yang sebelum ini mereka pernah duduk seterusnya kembali menjalankan kegiatan pelacuran,” katanya.

Abdul Jalil berkata kebanyakan warga China yang disoal siasat adalah atas kapasiti bukan untuk belajar tapi hanya menggunakan pas tersebut sebagai platform supaya nanti mereka boleh pergi ke satu tempat yang lain dan akhirnya langsung tidak mendaftar di institusi pengajian mereka semata-mata untuk menjadi
pelacur.

“Mereka sebenarnya cuba mengaburi pihak berkuasa contohnya ketika berada di pintu masuk utama Imigresen, Imigresen tengok mereka pegang visa pelajar dan tengok mereka sebagai pelajar sahaja dan beranggapan budak ni nak belajar jadi tidak akan tanya banyak soalan sebaliknya kalau tengok mereka sebagai pelancong,

Imigresen mesti akan tanya nak pergi mana, duduk hotel mana, dan sebagainya,” katanya.

Statistik terkini Unit Pencegahan Maksiat Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman pada Januari hingga 15 Feb menunjukkan warga China merupakan jumlah paling ramai ditangkap kerana terbabit dalam pelacuran iaitu seramai 653.

Tangkapan itu diikuti dengan warga Vietnam (367), Thailand (300), Indonesia (177), Filipina (55), Uzbekistan (19), Myanmar (14), Kemboja (10), Bangladesh (9), Mongolia (6), Nigeria dan Sri Lanka masing-masing empat tangkapan dan India satu.

Berdasarkan statistik polis, warga China kekal mencatatkan tangkapan tertinggi bagi tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2009 seramai 5,753; 2010 (6,378) dan 2011 (5,922). - Bernama

4:14 PM | Posted in , , | Read More »

Pelaburan emas melalui Internet mungkin beri kesan buruk

BACHOK, 26 Feb - Kementerian Kewangan bimbang kemungkinan merebaknya skim pelaburan emas melalui internet yang menjanjikan pulangan tinggi, akhirnya memberi kesan buruk kepada pelabur.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata syarikat yang ditubuhkan di luar negara itu dikatakan memberi jaminan akan memberi keuntungan 10 hingga 20 peratus dalam tempoh yang singat.

"Peringkat awal mereka benar mendapat untung lumayan tetapi kita bimbang pada akhirnya mereka akan mendapat kesan buruk apabila tidak mendapat pulangan yang setimpalnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen membaja Risda di Kampung Mak Lipah, Pak Badol di sini.

Beliau berkata Kementerian Kewangan tidak pernah mengeluarkan lesen mengenainya dan jika ada yang berasa tertipu mereka boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk diambil tindakan.

- BERNAMA

12:49 AM | Posted in , | Read More »

Anwar Ibrahim JANJI akan tutup kilang Lynas andainya berkuasa selepas PRU13

Satu usul tergempar bagi membatalkan loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng akan dibentangkan di Dewan Rakyat apabila parlimen bersidang semula 12 Mac ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa jika Pakatan Rakyat menumbangkan BN dan menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, mereka akan menutupkan operasi kilang bernilai RM700 juta itu.

"Kalau kita di Putrajaya, kita akan batalkan Lynas," kata Anwar pada kira-kira hampir 10,000 hadirin di padang MPK4 di Kuantan hari ini yang berhimpun bagi membantah operasi kilang dari Australia itu.

Menurutnya, Pakatan itu tidak akan mempertahankan mana-mana dasar yang menindas rakyat dan merosakkan alam sekitar.

"Pakatan memberi sokongan kepada kumpulan Anti-Lynas, kita minta semua kaum bersatu kerana ia isu Malaysia.

"Saya nak sampaikan mesej, kepada rakyat dan kerajaan Australia perlu bertanggungjawab dengan keselamatan rakyat Malaysia.

NONE"Kami tidak mahu mengorbankan masa depan kami dengan projek ini," kata ketua pembangkang itu sambil melaungkan reformasi dan Hidup Rakyat.
Isu Lynas, kata anwar, bukannya isu perkauman seperti yang sering didakwa Umno, tetapi adalah isu keselamatan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak pihak kerajaan mendengar suara dan bantahan rakyat berhubung isu itu.
Beliau juga menempelak pemimpin yang didakwanya korup dan tidak menghormati kehendak rakyat.

"Mereka hanya faham duit, duit, duit," kata sambil melaungkan tolak rasuah dan bangkit rakyat. Hadirin kemudiannya menyambut laungan itu.
Sebelum itu, Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga turut menyampaikan ucapan sambil menegaskan bahawa NGO BERSIH bersama Himpunan Hijau.

himpunan hijau 2 260212 stage front view"Hari ini 'Kuning' bersama-sama dengan Hijau. Rakyat Malaysia tolak Lynas, Rakyat Malaysia tolak sesiapa sahaja yang sokong Lynas," katanya.

Beliau turut menempelak pihak tertentu yang membuat keputusan tentang Lynas, sebaliknya tinggal jauh dari Gebeng.

Ambiga juga bertanyakan kepada hadirin sama adakah mereka telah mendaftar mengundi. Kemudian rakyat melaungkan "Ya".

Sehubungan itu, beliau mahu 100 peratus rakyat keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita tolak calon yang sokong Lynas, tolak calon yang tidak berintegriti," sambil melaungkan Hidup Rakyat, Hidup Hijau dan Hidup Bersih beberapa kali.

Selepas itu, giliran seorang peserta dari unit amal PAS membacakan tiga resolusi Himpunan HIjau 2.0 yang kemudiannya diikuti oleh hadirin iaitu:-
  • Batalkan Segera Projek Loji Nadir Bumi Lynas
  • Hentikan atau nilai semula segala projek yang memudaratkan Malaysia.
  •  Pastikan segala rancangan pembangunan adalah mapan dan sejajar dgn prinsip-prinsip "Piagam Bumi".
NONEBeliau mengakhiri dengan melaungkan pilihan di tangan kita, "Hidup Rakyat", dan "Undur Lynas" beberapa kali.

Sebelum mengakhiri himpunan itu, pengerusi majlis Hishamudin Rais mengajak hadirin bertafakur dan berdoa supaya perjuangan menhentikan loji Lynas berjaya.

Mereka juga sambil mengangkat dan menyilang tangan seperti tanda pangkah ke udara sebagai tanda protes kepada loji Lynas.
Tidak kurang 10,000 peserta Himpunan Hijau 2.0 hadir di Padang Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, pagi ini. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan datang dari seluruh negara.

6:43 PM | Posted in , , | Read More »

Lynas selamat dari segi fakta saintifik - Najib

SEKINCHAN, 26 Feb - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Pahang dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat.

Perdana Menteri berkata kebimbangan rakyat daripada segi psikologi bahawa projek tersebut akan membawa kesan buruk juga diambil kira oleh kerajaan.

"Yang penting sekali dari segi fakta, dari segi 'scientific evidence' projek Lynas ini tidak akan membawa kemudaratan kepada masyarakat," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama masyarakat Sekinchan di SRJK (C) Yoke Kuan, di sini, hari ini.

Katanya kerajaan juga mengenakan syarat yang cukup ketat untuk operator Lynas termasuk syarat di mana sisa-sisa dari kilang tersebut perlu dilupuskan di tempat yang jauh dari penempatan masyarakat.

"Dan kita tidak akan beri 'lesen operasi' melainkan kita berpuas hati bahawa masyarakat tempatan boleh menerima bahawa projek ini selamat dari segi kepentingan rakyat," katanya.

Ditanya mengenai perhimpunan yang diadakan di Kuantan pagi ini bagi membantah projek itu, Perdana Menteri berkata pembangkang sengaja mengunakan isu sedemikian untuk menyerang kerajaan dan mendapatkan sokongan rakyat.

"Tetapi apa yang mereka lakukan bukanlah mencari satu penyelesaian.

"Kita (kerajaan) nak cari satu penyelesaian yang dapat diterima oleh rakyat, di samping itu tidak menjejaskan pelaburan kita, sekiranya pelaburan itu tidak mendatangkan bahaya dan mudarat kepada komuniti tempatan," katanya.

- BERNAMA

6:40 PM | Posted in , , | Read More »

Kerajaan diberi tempoh 24 jam untuk tutup kilang Lynas

Kerajaan hari ini diberi tempoh 24 jam bagi menutup loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng atau menghadapi Himpunan Hijau 3.0.

NONEDengan kehadiran ribuan peserta Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan pagi ini, pengerusi jawatakuasa pemandu Wong Tack menjanjikan jumlah yang lebih ramai jika kerajaan sekarang terus berdegil tidak memperdulikan bantahan dan rayuan rakyat itu.

"Kami memberi tempoh kepada kerajaan 24 jam untuk menutup loji berkenaan, jika tidak kami akan menganjurkan demonstrasi yang lebih besar.

"Tutup kilang Lynas, atau kami akan tumbangkan kerajaan, kamu buat keputusan," katanya sambil menggesa kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Bercakap dalam sidang media selepas perhimpunan itu, Wong berkata jika perhimpunan kali ketiga berlangsung, seluruh rakyat Malaysia akan turun menyertainya bagi membantah kehadiran loji tersebut.

Ditanya mengapa pihaknya tidak mengambil jalan lain antaranya berdialog dengan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini, Wong menegaskan tindakan itu "tidak relevan".

"Kita sudah tunggu satu tahun untuk dialog. Jangan buang masa lagi. Cukuplah," katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan menerima projek itu beroperasi di negara ini, bahkan sisa bahan radioaktif tersebut akan ditanam di sini.

"Mungkin boleh menjadi kerajaan untuk beberapa tahun, tetapi (sisa) itu kekal dalam tempoh yang lama.

"Kerajaan boleh buat janji kosong, yang menanggung derita adalah rakyat," katanya.

6:29 PM | Posted in , , | Read More »

Blog Archive

Labels

Blogged.my