|

Konsortium Malaysia bina Jambatan Paima bernilai RM6.6 bilion

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Sebuah konsortium Malaysia akan ditubuhkan untuk melaksana projek jambatan pelbagai guna Padma, bernilai RM6.6 bilion, di Bangladesh selepas kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerajaan-dengan-kerajaan (G2G) menjelang akhir bulan ini.

Duta Khas (Infrastruktir) ke India dan Asia Selatan Datuk Seri Samy Vellu berkata konsortium itu yang terdiri daripada syarikat-syarikat pembinaan berpengalaman Malaysia, itu ditubuhkan selepas kerajaan Bangladesh menerima cadangan teknikal dan kewangan projek itu minggu lepas.

Jambatan Padma merupakan jambatan dan jalan sepanjang 6.15 km merentangi Sungai Padma.

Ia akan menghubungkan Louhajong, Munshiganj ke Shariatpur dan Madaripur, sekaligus menghubungkan wilayah selatan-barat negara itu dengan utara dan timur negara berkenaan.

Apabila siap, ia akan menjadi projek infrastruktur terbesar negara setakat ini dan akan diumumkan sebagai jambatan terbesar di Bangladesh dan jambatan tetap pertama untuk laluan trafik.

"Bangladesh sudah melihat kejayaan kita dalam membangunkan jambatan seperti Jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang. Perdana Menteri (Bangladesh) Sheikh Hasina meminta kami mengkaji cadangan jambatan itu.

"Kami membuat kajian sejak sebulan lepas dan akhirnya dengan kebenaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kami memaklumkan kepada kerajaan Bangladesh bahawa kami bersedia membina jambatan berkenaan," kata Samy Vellu kepada Bernama dalam temu bual.

Beliau berkata beberapa nama besar dalam industri pembinaan Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan sudah dikenal pasti untuk menyertai konsortium itu yang akan dipantau oleh Jabatan Perdana Menteri, menerusi pejabat duta khas.

"Kontraktor sudah membawa masuk pembiaya dari Dubai. Rundingan serius sedang dijalankan antara mereka. Kerajaan-kerajaan Malaysia dan Bangladesh tidak mempunyai suara dalam mengenal pasti dan menentukan pembiaya projek terbabit.

"Jambatan ini merupakan projek yang sangat penting untuk Malaysia memandangkan ia akan membuktikan kepada dunia bahawa negara kita (Malaysia) mempunyai keupayaan untuk melakukan apa sahaja di mula bumi ini, terutama dalam segmen infrastruktur," kata Samy Vellu.

Mengenai bila projek itu akan dimulakan, beliau berkata butiran mengenai tempoh masa pembinaannya hanya akan diputuskan sebaik perjanjian G2G, dimeterai pada 21 Februari, 2012.

Beliau berkata konsortium Malaysia itu perlu memperoleh beberapa kelulusan selepas menandatangani MoU membabitkan keupayaan kewangan kontraktor.

Selepas otu, Samy Vellu berkata Kuala Lumpur dan Dhaka akan menandatangani memorandum perjanjian.

Projek Jambatan Padma mendapat perhatian selepas Bank Dunia menggantung pinjaman US$1.2 bilion untuk projek itu, dengan mendakwa berlaku amalan rasuah.

Selain Bank dunia, Bank Pembangunan Asia juga brejanji sejumlah US$610 juta, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun memperuntukkan US$400 juta dan Bank Pembangunan Islam US$140 juta sebagai pinjaman.

Samy Vellu berkata bulan lepas Sheikh Hasina membayangkan kerajaannya tidak akan menggunakan wang dari Bank Dunia untuk melaksanakan projek jambatan itu jika bank berkenaan gagal membuktikan tuduhan rasuah yang didakwanya.- Bernama


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 7:41 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Konsortium Malaysia bina Jambatan Paima bernilai RM6.6 bilion"

Leave a reply

Blogged.my