Siti Nurhaliza Di Konsert Sinar Maulidur Rasul
Penyanyi terkemuka tanah air, Dato’ Siti Nurhaliza akan muncul pada Konsert Sinar Maulidurrasul, “Muhammad Al-Ameen” di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 4 Februari ini.Bersempena meraikan keputeraan baginda Muhammad S.A.W, konsert berunsurkan kerohanian ini turut membariskan beberapa nama besar lain seperti Najwa Latif, Rabbani, Amy Search dan juga Sabri Yunus.
Tentunya kemunculan Dato’ Siti Nurhaliza dinantikan para peminat beliau setelah kian lama tidak tampil membuat persembahan di khalayak ramai.
Konsert percuma yang diadakan bersempena Karnival Sinar Maulidurrasul “Muhammad Al Ameen” ini dijangka akan bermula selepas Isyak, sekitar jam 8.45 malam.
Konsert yang merupakan anjuran bersama Siti Nurhaliza Productions (SNP) dan Rabbani Productions ini bukan sahaja menampilkan persembahan berbentuk nyanyian sahaja. GUA dikhabarkan interpretasi kasih sayang penyanyi-penyanyi ini terhadap Rasulullah SAW yang tercinta juga akan ditampilkan menerusi alunan syair dan gurindam.
Semestinya, kelunakan suara Dato’ Siti Nurhaliza apabila mengalunkan irama sebegini rupa amatlah dinantikan. Lihat sahaja gemersik suara Siti dalam album kerohanian beliau, Tahajjud Cinta yang sememangnya memukau. Jadi orang Terengganu khususnya marilah bersama memeriahkan konsert ini!