|

Hasan Ali tidak akan RAYU!

KUALA LUMPUR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan pemecatannya sebagai ahli parti Islam itu.

Beliau dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu dan mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan.

Hasan yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi membantah keputusan pemecatan beliau dengan menyifatkan tindakan itu diambil secara arbitari dan mengikut selera 'parasit' yang mahu beliau keluar Pas.

"Peranan parasit yang begitu menonjol dalam mesyuarat membuat keputusan tersebut sehingga pimpinan tertinggi terpaksa membuat keputusan di luar batasan pengurusan manusia dalam organisasi seperti lazim dilakukan.

Saya juga tidak pernah menerima surat, pesanan ringkas atau panggilan telefon meminta saya hadir khusus untuk member keterangan terhadap apa-apa pertuduhan (sekiranya ada) yang dikenakan terhadap saya," kata beliau pada sidang media di rumahnya di sini petang ini.

Menurut Hasan, beliau tetap berpegang kepada kenyataan Mursyidul Am Pas yang menyatakan bahawa segala-galanya yang melibatkan beliau (Hasan) telah selesai selepas Pertemuan Mahabbah di Kota Bahru pada 27 Disember tahun lalu.

Mengulas isu sama, Hasan berkata hala tuju dan dasar perjuangan parti telah terkeluar dari landasan asalnya apabila negara Islam, hukum hudud, kepimpinan ulama ukhwah Islamiyah dan akhlak Islam tidak lagi menjadi amalan serta urusan harian parti.

“Sebelum ini saya sering mencadangkan supaya Pas mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana pendekatan akomodatif yang diambil oleh ‘parasit’ di dalam Pas melampaui hal berkaitan dasar parti hingga terpaksa dikorbankan demi menjaga hubungan bersama PR.

“Dalam konteks negeri Selangor, saya sendiri menghadapi kesukaran dan suasana serba salah untuk melonjak, menjunjung dan mendaulatkan Islam serta bangsa Melayu seperti yang termaktub dalam pernyataan dasar parti,” katanya.

Hasan menambah antara sebab beliau enggan membuat rayuan adalah kerana beliau mendapati pimpinan ‘parasit’ dalam Pas lebih gemar mendengar pandangan daripada DAP dan PKR berbanding daripada wakil partinya sendiri dalam hal pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, ruang untuk Islam di Selangor khususnya berkaitan hal nahi mungkar menjadi perkara pokok perjuangan Pas hampir tidak wujud kerana DAP, PKR dan sebahagian daripada pimpinan Pas Negeri yang menjadi ‘parasit’ tidak menyebelahi beliau.

“Alasan yang diberikan ialah kerana pendapat saya kononnya bercanggah dengan hak asasi manusia, kebebasan individu, hak untuk memilih dan demi mengutamakan Putrajaya.

“Hampir dalam semua perkara, Pimpinan ‘parasit’ ini menyuarakan pandangan negatif terhadap semua yang saya lakukan sebaliknya mereka lebih suka menyerang saya termasuk menyuarakan melalui media masa yang sebenarnya sudah jauh menyimpang daripada amalan akhlak Islam,” katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 6:16 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Hasan Ali tidak akan RAYU!"

Leave a reply

Blogged.my