|

Pejabat SUPP terbakar atau dibakar?

KUCHING: Kebakaran mengejutkan bilik mesyuarat ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Jalan Tan Seri Ong Kee Hui, di sini, semalam mencetuskan tanda tanya kepada orang ramai.

Ini berikutan pengawal keselamatan, Matdeli Eddie, 60, mendakwa sebelum kejadian, dia melakukan rondaan di kawasan berkenaan dan mendapati keadaan di situ terkawal sebelum kembali ke pos kawalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, semua peralatan bilik mesyuarat di tingkat bawah bangunan dua tingkat itu, termasuk rekod mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bagi tempoh lebih lima tahun lalu, dilaporkan musnah.

“Tiba-tiba saya terhidu bau asap sebelum bergegas keluar dari pos kawalan dan melihat api di bilik mesyuarat berkenaan.

“Tanpa membuang masa, saya terus menghubungi bomba dan penyelamat bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Namun, kebakaran itu tidak merebak ke pejabat lain termasuk bilik presiden parti dan timbalannya yang terletak berhampiran berikutan struktur bangunan yang memiliki ciri keselamatan menghalang api daripada merebak.

Ketua Operasi Balai Bomba Kuching, Sabarudin Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 pagi sebelum mengerahkan dua jentera bersama 13 anggota ke lokasi kebakaran.

“Api dikawal pada jam 4.38 pagi sebelum dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian. Kami tidak menghadapi sebarang masalah bagi mengawal api daripada merebak ke seluruh bangunan.

“Kebakaran ini memusnahkan peralatan pejabat termasuk peralatan elektronik yang disimpan di dalam bilik mesyuarat dan Unit Forensik Bomba masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sim Kheng Hui berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kakitangan pejabat, kira-kira jam 5 pagi, sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Kebakaran ini sangat mencurigakan kerana kami baru saja selesai melakukan proses pemilihan parti, malah kebanyakan barang milik saya bersama presiden, timbalan presiden dan pemimpin kanan belum dikeluarkan lagi.

“Kami masih mempunyai rekod berkaitan mesyuarat yang diadakan di pejabat ini kerana pejabat yang menempatkan komputer milik kakitangan tidak terjejas, cuma yang kami bimbang ialah dokumen lama,” katanya.

Dalam pada itu, Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat dijangka melakukan siasatan terperinci berhubung kebakaran itu secepat mungkin.

myMetro


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 9:38 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Pejabat SUPP terbakar atau dibakar?"

Leave a reply

Blogged.my