|

Chong Wei dominasi Pemain Terbaik Dunia

Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menerima suntikan moral apabila turun untuk mempertahankan kejuaraan Siri Super Masters Akhir hari ini selepas diumum sebagai Pemain Terbaik Dunia buat kali ketiga berturut-turut, semalam.

Biarpun gagal membawa pulang gelaran dunia dan kalah empat daripada lima pertemuannya dengan Lin Dan tahun ini, namun Chong Wei berjaya mengatasi 'superstar' China itu hasil kejayaan merangkul tujuh kejuaraan sepanjang 2011, lima daripadanya berstatus Siri Super.

Malah, pemain berusia 29 tahun itu juga akan dikenang kerana kehebatannya menempatkan diri dalam 11 perlawanan akhir berturut-turut sepanjang 2011.

Chong Wei membuka tirai 2011 dengan merangkul kejuaraan hatrik Siri Super Masters final di Taiwan, sebelum muncul juara Terbuka Malaysia, All England, Terbuka India, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Perancis.

Dia juga muncul naib juara Terbuka Korea, Kejohanan Dunia, Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark, selain melangkah ke separuh akhir Terbuka Hong Kong dan Terbuka China.

Pemain dari Pulau Pinang itu menerima anugerah daripada Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Dr. Kang Young Joong dalam majlis gala di Liuzhou, China, yang turut menyaksikan pasangan tuan rumah, Wang Xiaoli-Yu Yang diumum sebagai Pemain Terbaik Wanita 2011.

Chong Wei sebelum ini turut menjadi pilihan peminat untuk memenangi anugerah berprestij itu dengan mengatasi musuh ketatnya, Lin Dan menerusi perbezaan 12 peratus undi dalam satu pungutan suara yang dilakukan secara talian, minggu lalu.

"Anugerah ini adalah satu suntikan semangat buat saya dan sudah tentu menjadi motivasi untuk mencari kejuaraan lebih besar.

"Saya mahu mencari keputusan terbaik pada Siri Super Masters Akhir kerana ia merupakan kejohanan terakhir tahun ini, selain penting untuk mengutip mata bagi mengukuhkan ranking,'' kata Chong Wei.

Sementara itu, Wang Xiaoli-Yu Yang pula melakar sejarah muncul beregu pertama menerima anugerah Pemain Terbaik Wanita mengatasi pakar beregu Indonesia, Liliyana Natsir yang sebelum ini menjadi pilihan awal peminat.

Utusan Online


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 9:41 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Chong Wei dominasi Pemain Terbaik Dunia"

Leave a reply

Blogged.my