Piala Thomas - Khoo Kay Kim hentam BAM
JANGAN terlalu mudah melupakan prestij Piala Thomas. Begitulah lebih kurang nada pengkritik sukan tanah air, Tan Sri Dr Prof Emeritus Khoo Kay Kim yang kecewa dengan pendirian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana menganggap Piala Thomas bukan lagi kejohanan penting untuk diburu pemain, sebaliknya kilauan emas di Sukan Olimpik menjadi keutamaan ketika ini.Pendirian itu dianggapnya seolah-olah seperti melupakan sejarah lalu dan Kay Kim mengingatkan BAM, Piala Thomas tetap mempunyai prestij dan nostalgia tersendiri, terutama untuk skuad negara.
“Jangan lupa kita negara pertama berjaya memenangi Piala Thomas pada 1949 yang juga kemenangan antarabangsa pertama membabitkan skuad negara.
“Kemenangan itu mencetuskan impak besar ketika itu, antaranya orang ramai mula berminat untuk bermain badminton dan banyak gelanggang dibina di kawasan lapang. Impaknya masih kekal hingga kini apabila kita menjadi antara kuasa besar sukan badminton,” katanya.
Begitupun, Kay Kim tidak menafikan buruan pingat emas di Sukan Olimpik juga cukup penting untuk skuad negara kerana belum pernah ada pemain merangkul emas pada temasya sukan terbesar dunia itu.
“Bagi saya, kedua-duanya (Piala Thomas dan Sukan Olimpik) penting. Kita memang mengharapkan meraih emas pertama di Sukan Olimpik terutama menerusi (Datuk) Lee Chong Wei dan itulah juga menjadi sasaran negara lain yang bertanding pada temasya ini.
“Tetapi pada masa sama, kita tidak boleh melupakan saingan Piala Thomas sebab seperti yang saya katakan tadi, ia (Piala Thomas) mempunyai prestij tersendiri,” katanya.
Namun, beliau ternyata tidak dapat mengetepikan rasa bimbangnya apabila ditanya kemampuan barisan pemain negara yang bakal beraksi pada pusingan kelayakan Piala Thomas yang akan berlangsung di Macau dari 14 hingga 19 Februari ini.
“Selain Chong Wei, saya rasa kedudukan kita agak sukar kerana barisan pemain lain tidak konsisten,” katanya.
Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai menerusi laporan Arena Metro semalam menyatakan, Piala Thomas tidak lagi penting untuk dicapai skuad negara, sebaliknya Malaysia ketika ini lebih fokus untuk meraih pingat emas di Sukan Olimpik.
Jelas Chin Chai, tujuan sebenar dengan menegaskan Piala Thomas tidak penting adalah kerana enggan memberikan tekanan kepada pemain.
Skuad negara berjaya menjulang Piala Thomas sebanyak lima kali dengan kali terakhir pada 1992.