Perlantikan MB sebagai Exco Agama memang "molek" : Presiden PAS
SHAH ALAM - Keputusan Menteri Besar, Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memegang sendiri portfolio agama Islam di negeri itu memang satu keputusan "molek", kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Beliau berkata, dengan kelebihan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang selalu berjumpa dengan Sultan, ia akan memudahkan lagi urusan agama di negeri itu.
"Kita kena tahu di Selangor agama di bawah bidang kuasa raja melalui majlis agama. Kita nampak Tan Sri Khalid ini orang paling rapat dengan Sultan, dia paling kerap jumpa Sultan, jadi moleklah orang paling acap jumpa sultan (pegang Exco agama)," katanya dipetik Harakahdaily hari ini.
Abdul Hadi menambah, siapapun yang dilantik sebagai ketua tidak penting, namun yang lebih penting adalah siapa yang akan menjalankan tugas jawatankuasa itu.
Sebelum beberapa pihak tertentu khususnya Umno sebelum ini kononnya Pas dipinggir kerana tidak diberi portfolio agama kepada exco dari parti itu.
Isu tersebut timbul selepas Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Exco Selangor menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Bagaimanapun, portfolio hal ehwal Islam yang sebelum ini di bawah Hasan kemudiannya diletakkan dibawah menteri besar sendiri manakala Dr Yunus dilantik memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Melayu.
Peluang itu sekali gus digunakan Umno dengan mendakwa Pas hilang potfolio agama.
Abdul Hadi juga berkata, Pas masih berperanan besar apabila Menteri Besar melantik Adun Bangi Dr. Shafie Abu daripada Pas sebagai Pembantu Exco Agama.
"Cumanya kita lantik siapa bawah Tan Sri Khalid, ini yang penting. Setengah orang kita ni tak nampak (siapa) yang kena buat kerja, nak tengok siapa (ketua).
"Lagipun pilihan raya umum dekat dah," katanya sambil menyifatkan keputusan itu juga sebagai strategi pilihan raya.