Penyanyi hip hop didakwa rogol anak tiri dibebas dengan jamian polis
GOMBAK: Penyanyi sebuah kumpulan berkonsep hip hop popular tanah air yang ditahan polis selepas didakwa merogol anak tiri di rumahnya di Gombak Jaya pada 19 Februari lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, penyanyi berusia 37 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis kerana pihaknya masih menunggu laporan kimia daripada hospital untuk melengkapkan kertas siasatan.
Harian Metro 20 Februari lalu melaporkan seorang penyanyi hip hop popular ditahan polis selepas didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun di kediaman mereka sejak tujuh tahun lalu.
Penyanyi terbabit yang juga pernah berlakon filem itu ditahan selepas anak tirinya itu membuat laporan di Balai Polis Gombak, di sini, jam 11 malam.
Menurut sumber, dalam laporannya mangsa mendakwa dinodai bapa tirinya itu sejak berusia tujuh tahun dan kejadian terbaru berlaku pada 9 Februari lalu. Berikutan laporan itu, polis melakukan siasatan sebelum menahan penyanyi terbabit di rumahnya di Gombak Jaya, kira-kira jam 2 pagi.
Sumber itu berkata, remaja perempuan terbabit mendakwa dia nekad membuat laporan polis kerana tidak tahan dijadikan hamba seks bapa tirinya sejak tujuh tahun lalu selain bimbang keselamatan adik perempuannya yang lain.