Murid maut dipanah petir, 4 termasuk guru cedera
KUALA KANGSAR – Seorang pelajar maut manakala empat lagi termasuk seorang guru cedera dalam tragedi panahan petir di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Mazuin di sini, petang ini.Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang terkorban, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin, 11, bersama tiga rakan dan seorang guru baru sahaja selesai menjalani latihan memanah.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, tiga lagi rakan mangsa berusia 10 hingga 12 tahun dan seorang guru dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Difahamkan ketika kejadian cuaca hujan dan mangsa bersama rakan-rakan masih lagi berada di padang selepas selesai menjalani latihan.
“Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pakri dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kematian disebabkan oleh 'lightning injury'.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih lagi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.