Polis temui mayat wanita hampir reput
Gambar Hiasan |
Mayat Lau Hua Nee, 58, ditemui terbaring di atas kerusi malas dalam keadaan lengkap berpakaian di ruang tamu rumah itu, dengan ditemani dua ekor anjing peliharaannya pada pukul 1.30 petang.
Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang menghidu bau busuk di sekitar kawasan tersebut sejak beberapa hari lepas.
"Polis terpaksa memecah pintu untuk masuk ke rumah dua tingkat itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan mangsa seorang guru tuisyen yang telah bersara dan tinggal bersendirian di rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.
Kong Meng berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa mungkin mati sejak tiga atau empat hari lepas berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput.
"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi siasatan akan turut dijalankan untuk memastikan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes ini,” katanya. – BERNAMA