Perlantikan AC Mizal sebagai Duta Pelancongan Perak dipertikai
Pelantikan selebriti popular, Datuk AC Mizal atau nama sebenarnya, Mizal Zaini sebagai duta pelancongan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 mencetuskan kontroversi apabila artis berkenaan dianggap tidak layak dipilih berikutan bukan anak jati Perak.Isu berkenaan timbul apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan pelantikan itu dengan alasan penyanyi, pelakon dan pengacara itu anak kelahiran Muar, Johor.
Mereka mendakwa pelantikan itu tidak munasabah berikutan masih ramai lagi artis anak jati Perak yang layak seperti penyanyi terkenal Jamal Abdillah, M Daud Kilau, Ahmad Shahir Zawawi (juara Akademi Fantasia musim ketujuh), Mamat Khalid (pengarah filem) serta tokoh kartunis terkenal seperti Datuk Mohammad Nor Khalid (Datuk Lat).
Setiausaha Dewan Pemuda Islam Perak, Salman Salleh, berkata pemilihan AC Mizal itu tidak sesuai kerana ramai lagi individu daripada negeri itu sendiri yang lebih berkelayakan.
“Pelantikan itu tidak disenangi rakyat Perak kerana ramai lagi individu terkenal dari negeri ini lebih layak dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai negeri kelahiran mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.