Kami bukan parti suka pecat ahli - PAS
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menolak pandangan media bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menjadi sasaran susulan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali awal bulan ini, berhubung tindakan penggantungan lima penuntut Kolej Universiti Insaniah (Kuin).Sambil menegaskan isu melibatkan Azizan dan Hasan jauh berbeza, Salahuddin berkata, Pas juga bukan satu parti yang mengamalkan budaya suka memecat ahli dan pemimpinnya.
"Pas bukan (parti) suka pecat orang. Itu mainan politik media arus perdana kerajaan, yang melihat siri pemecatan dari Pas. Jadi, kita bukan budaya pecat orang, bukan menjadi amalan dan budaya suka pecat orang atau mengambil tindakan disiplin ke atas seseorang.
"Ia hanya dibuat pada waktu-waktu dan ketika yang cukup kritikal. Jadi saya rasa ini hanya mainan media untuk menggambarkan perkara-perkara negatif mengenai Pas," katanya dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online, semalam.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tidak timbul isu kononnya Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, akan dipecat sebagaimana kes Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor.
"Ia sama sekali isu yang berbeza. Apa yang disebutkan oleh Datuk Azizan adalah dari segi teknikal (berkenaan) pelaksanaan Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) di Kuin.
"Isu Hasan Ali melibatkan penentangan beliau terhadap parti dan dasar parti, dan menggunakan media musuh untuk menyerang parti. Jadi, saya rasa ia harus dibezakan.
"Datuk Azizan isu teknikal sahaja. Kita harus melihat dari perspektif yang berbeza, isu Datuk Hasan Ali," katanya lagi.
Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri, dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.
Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan sebuah akhbar mingguan kelmarin, yang antara lain mengatakan sebagaimana Hasan, bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din dan ramai lagi yang dilabel pro-BN, Azizan juga sudah terkena tempias.
Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari baru-baru ini meminta Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan atas alasan melanggar prinsip Buku Jingga dibawa perikatan itu.
Aziz mahu Azizan dikenakan tindakan tegas kerana pendirian Menteri Besar Kedah itu bertentangan dengan kesepakatan pembangkang untuk menghapuskan Auku yang juga termaktub dalam buku jingga mereka.
Selepas Hasan yang dikenakan tindakan sejurus PKR membuat desakan, apakah mungkin Azizan akan mengalami nasib sama, soal pandangan akhbar tempatan itu.
Bagaimanapun dalam kenyataan kepada Sinar Harian semalam, Azizan berkata, lima pelajar Kuin dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian mengikut peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya Auku seperti yang diuar-uarkan pihak luar.
Azizan berkata, oleh itu beliau menasihatkan pihak luar supaya tidak mencampuri isu dalaman kolej universiti tersebut kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan.
"Kedua-duanya berbeza, walaupun hampir sama. Saya harap selepas ini jangan lagi ada pihak yang pertikai keputusan yang dibuat,” kata beliau yang juga Pengerusi Kuin.