Jupe dan Gaston mahu berpesta 7 hari 7 malam
DILABEL sebagai simbol seks Asia, kehidupan pelakon, penyanyi, penyampai dan model sensasi Indonesia, Julia Perez, tidak pernah kering dengan sensasi. Ada saja kisah hangat dikaitkan dengan dirinya walaupun pada ramai artis lain, ia umpama ‘mimpi ngeri’ pada siang atau malam hari.Namun, Julia atau nama sebenarnya Yuli Rachmawati, seolah-olah sudah lali dengan segala tanggapan sedemikian malah semakin berani tampil dengan penampilan yang ada masanya sangat seksi lagi menggiurkan.
Bintang seberang itu terus menjadi perbualan hangat di gelanggang industri hiburan apabila kisah percintaannya dengan bintang bola sepak kacak kelahiran Argentina dari Kelab Persiba di Indonesia, Gaston Castano.
Walaupun nampak sangat bahagia, Julia kini berdepan satu masalah besar. Masalah itu tidak lain daripada tentangan atau tiada restu daripada ibu Julia sendiri terhadap perhubungan cinta mereka yang dilaporkan mahu diakhiri ke gerbang perkahwinan tidak lama lagi.
Memandangkan usia Julia kini mencecah 31 tahun, dia yang lebih mesra dipanggil Jupe, ingin bernikah sekali lagi dan mengecapi hidup sebagai isteri. Namun, apa yang sangat mengecewakan Jupe, sehingga kini dia dikatakan masih gagal meraih kepercayaan ibunya untuk bernikah lagi dan kali ini dengan Gaston yang digilai ramai gadis lain.
Mungkin ibu Julia masih bimbang dan gusar berikutan kegagalan perkahwinan pertama Julia dengan bekas suaminya dulu. Julia pernah bernikah dengan seorang model, Damien Perez di Perancis pada tanggal 7 Oktober 2002 dan ia saat yang paling membahagiakannya pada masa itu.
Namun lama-kelamaan, gelora datang melanda. Rumah tangga Julia dengan Damien mula bergolak sehingga gagal dipertahankan lagi. Sampai satu peringkat iaitu pada Julai 2009, mereka bersetuju ke satu titik noktah. Pada awal Julai 2009, mereka akhirnya berpisah membawa haluan masing-masing.
Selepas perceraian itu, Jupe kembali solo, namun tidak pernah serik memburu cinta. Dia akhirnya berkenalan dengan Gaston pula dan terus jatuh cinta.
Percintaan mereka semakin ketara sehingga pada akhir 2009, Jupe dilaporkan dibawa pulang oleh Gaston ke Argentina untuk bertemu keluarganya. Dipercayai selepas itulah mereka mula menggores rencana untuk mengatur tarikh perkahwinan yang besar buat diri mereka.
“Saya benar-benar sangat impikan perkahwinan yang indah ini dan mengharapkan tahun ini ia akan terlaksana mengikut rancangan asal kami.
“Malah busana sempena hari terindah itu sudah saya tempah iaitu tujuh pasang dan setiap satu akan saya gayakan dalam acara selama tujuh hari tujuh malam itu.
“Syukurlah sekurang-kurangnya ayah sudah memberi keizinan terhadap perkahwinan ini, cuma sekarang saya hanya menunggu saat mendapat restu yang sebaik-baiknya daripada ibu pula.
“Lagipun usia sudah 31 tahun dan hakikatnya saya lebih tua berbanding Gaston yang baru 26 tahun, jadi apa lagi mahu ditunggu?” katanya.
Jupe setakat ini sudah membintangi 19 filem termasuk Coklat Stroberi (2007), Bukan Cinta Biasa (2009) dan Sumpah Ini Pocong! (2009) serta beberapa sinetron seperti Cinta Lokasi, Komedi Nakal, Iman dan Hidayah.
Julia tidak menyorok punca utama ibunya menghalang perkahwinan itu disebabkan dia tidak yakin Gaston mampu menyara Jupe dengan hanya bertunjangkan kerjaya sebagai pemain bola sepak.
Apa yang menggemparkan, Julia akui pernah memasang niat untuk kahwin lari, namun hatinya tidak sekejam itu kerana masih berpegang teguh dan percaya kepada restu orang tua. Baginya itu adalah antara kunci utama kepada sesebuah perkahwinan yang berjaya apatah lagi selama ini, ibunya insan yang sangat penting dalam membesarkan dirinya sehingga menjadi manusia yang berjaya.
Walaupun sangat mencintai Gaston, timbul juga rasa khuatir di hati Julia kalau-kalau satu hari kelak, apabila sudah bosan, Gaston mungkin akan meninggalkannya.
“Maklumlah dia masih muda dan saya ini perempuan. Saya tidak peduli hal ini kalau saya lelaki tapi saya tetap seorang perempuan. Apa yang penting, saya perlu ada sasaran untuk mengakhiri perkahwinan ini sebelum terlambat,” katanya.
Menelusuri perjalanan hidup wanita keturunan Sunda-Betawi ini, Jupe memulakan kariernya sebagai pelatih setiausaha di sebuah syarikat swasta di Indonesia sebelum melanjutkan pelajaran di Belanda.
Di situlah dia berkenalan dengan bekas suami, Damien dan daripada perkenalan itu, Jupe mendapat kesempatan muncul sebagai model bagi majalah FHM dan Maxim di Perancis.
Sekembalinya ke tanah air, Jupe melebarkan sayapnya dan menembusi satu demi satu cabang industri hiburan bermula 2002.
Pada 2008, album sulungnya berjudul Kamasutra diterbitkan dan sekali lagi mengundang kontroversi apabila turut menyelitkan kondom dalam album terbabit ketika album berkenaan dilancarkan.
Meskipun niat asalnya adalah untuk menyokong kempen kesedaran pencegahan HIV dan Aids, usahanya tetap dikecam kerana sangat tidak senonoh dan memalukan masyarakat.
Pada awal Mac 2010, Jupe kembali sensasi apabila menunjukkan sifat beraninya umpama tiada had dengan mencalonkan dirinya bertanding sebagai calon parti politik Bupati Pacitan untuk pilihan raya pada Disember 2010.
Biarpun banyak suara sumbang berikutan pencalonan itu, ia tidak sedikit pun menggugat Jupe daripada berdiri di depan orang ramai dan meneruskan perjuangannya.
Bagaimanapun, Jupe tewas dalam persaingan kuasa itu namun atas keberaniannya untuk bertanding dengan semangat jitu, dia dianugerahkan gelaran Nyi Mas Ayu Tumenggung oleh pihak diraja istana di Surakarta.