|

Jangan Pertikai Gelaran 'Datuk' Saya - Eizlan Yusof

SHAH ALAM: Pelakon Datuk Eizlan Yusof meminta orang ramai tidak mempersoalkan gelaran Datuk yang diterimanya kerana ia adalah sesuatu yang istimewa kurniaan pihak Istana Pahang.

Eizlan, 41, atau nama sebenarnya Idris Md Yusof berkata, individu yang mempertikaikan kurniaan tersebut seolah-olah tidak mempercayai kredibiliti dan kemuliaan istana yang harus dihormati.

"Saya tidak faham kenapa ada pihak yang ingin mempertikaikan kurniaan tersebut? Ia diberi oleh istana dan bukan saya yang minta. Ia juga seolah-olah menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh pihak istana.

"Sudah lebih 18 tahun saya berada dalam industri ini, saya tidak mudah untuk tunduk dengan tohmahan orang terhadap saya," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis sidang media filem Pak Pung, di sini, Khamis.

Eizlan diminta mengulas mengenai cakap-cakap segelintir pihak yang mempertikaikan sumbangannya dalam bidang seni sehingga melayakkan dia untuk dikurniakan gelaran Datuk.

Pada 22 Disember lalu, Eizlan dan beberapa artis lain antaranya Datuk AC Mizal dan Datuk Fazley Yaakob dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk bersempena sambutan hari keputeraan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke-81.


Eizlan (kanan) bersama Datuk AC Mizal ketika menerima pingat Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Majis Istiadat Pengurnian Darjah-Darjah Kebesaran Pahang pada Disember lalu sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-81.

Dalam pada itu Eizlan berkata pihak Istana Pahang juga mempunyai sebab tersendiri dalam memilihnya sebagai salah seorang penerima anugerah tersebut dan menolak dakwaangelaran tersebut dibelinya untuk tujuan tertentu.

"Apabila ada pihak mencadangkan nama saya untuk menerima gelaran berkenaan dan pihak istana meminta agar saya menghantar butiran diri, takkan saya hendak ingkar?

"Prosedur yang melayakkan saya menerima gelaran itu juga bukan ditentukan oleh saya atau pihak pencadang sebaliknya ditentukan sendiri oleh Sultan," ujarnya.

Eizlan memberitahu dia tidak kisah dengan kata-kata negatif terhadapnya selain merasakan tidak perlu menjelaskan kepada umum mengapa dia layak menerima anugerah terbabit.

"Rasanya tidak perlulah saya menghebohkan kepada satu dunia mengenai pencapaian atau kejayaan yang telah saya kecapi sehingga dikurniakan gelaran itu.

"Saya lebih selesa untuk berdiam diri dan membiarkan segelintir pihak yang tidak puas hati terus mempersoalkannya," ujar Eizlan.

mstar


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 12:07 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Jangan Pertikai Gelaran 'Datuk' Saya - Eizlan Yusof"

Leave a reply

Blogged.my