BAM abaikan Piala Thomas
TERIMALAH natijahnya kerana mengabaikan kepentingan Piala Thomas. Mungkin itu kata-kata paling sesuai untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ini yang amat jelas tidak pernah menghiraukan usaha mengembalikan trofi Piala Thomas kerana terlalu taksub dengan pingat emas Sukan Olimpik dan hal itu disedari mereka yang pernah menjulang Piala Thomas sebelum ini.“Saya rasa BAM terlalu memberi tumpuan kepada Sukan Olimpik hingga terlepas pandang Piala Thomas. Bila kejohanan sudah hampir barulah sedar yang mereka sebenarnya tiada pemain,” kata Cheah Soon Kit yang menjadi penentu kejuaraan edisi Piala Thomas 1992 ketika bergandingan dengan Soo Beng Kiang.
“Tiada pilihan lain, kita perlu positif dan baki sebulan perlu digunakan pemain untuk melakukan persiapan terbaik sebelum ke pusingan kelayakan. “Sebagai bekas pemain, saya tentunya amat kecewa jika Malaysia gagal ke pusingan akhir. Saya harap ini tidak berlaku tapi kalau berlaku, BAM seharusnya menjadikan perkara ini sebagai pengajaran.
“Jangan sesekali lepas pandang Piala Thomas. Prestij kejohanan ini sama seperti Sukan Olimpik.” Sementara itu, legenda Datuk Eddy Choong yang menjulang Piala Thomas 1955 di Singapura berkata, kegagalan BAM mempersiapkan pasukan terbaik memaksa pemain untuk berhempas pulas memberi aksi cemerlang di pusingan kelayakan.
“Saya tahu sukar memenangi Piala Thomas apatah lagi melayakkan diri ke pusingan akhir kerana kita hanya ada Datuk Lee Chong Wei yang konsisten tapi semua pemain perlu berusaha bersungguh-sungguh.
“Tidak dinafikan BAM sudah melakukan kesilapan. Mereka sepatutnya memandang jauh dan bermula sekarang, pemain remaja perlu diberi pendedahan terbaik.
“Pendedahan bukan sekadar menghantar pemain ke kejohanan peringkat remaja atau peringkat umur. Sebaliknya BAM perlu mengenal pasti pemain berbakat yang boleh diketengahkan dan menghantar mereka menyertai kejohanan peringkat senior.
“Memang kita boleh dapatkan juara di peringkat umur tapi apa gunanya, mereka sekadar menang ke atas pemain setaraf.
“Mendedahkan pemain remaja lebih awal di kejohanan peringkat senior penting untuk membentuk mentaliti kuat dan mengembangkan lagi permainan selari dengan corak pemain senior. Kalah tidak mengapa,” katanya.
Eddy, 82, menggesa BAM supaya segera memastikan pemain remaja terutamanya dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berlatih di bawah satu bumbung dengan pemain senior.