Wartawan ESPN, Erin Andrew kemuka saman AS10 juta berhubung video telanjang beliau
NASHVILLE: Wartawan ESPN, Erin Andrews mengemukakan saman baru berjumlah AS$10 juta (RM31 juta) berhubung kejadian 2008 yang menyaksikan dia dirakam dalam keadaan telanjang menerusi lubang kunci di bilik sebuah hotel di Nashville.Erin, antara wartawan paling popular rangkaian televisyen itu, menuntut AS$6 juta di samping kos dan kadar faedah daripada Hotel West End Marriott dan AS$4 juta lagi daripada Michael Barrett yang mengaku bersalah menghendapnya.
Barrett yang berasal dari Chicago sudah pun dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun pada tahun lalu.
Menurut rekod Mahkamah Davidson County Circuit, saman itu mulanya difailkan tahun lalu tetapi difailkan semula bagi memastikan had yang dituntut tidak terjejas.
Pada perbicaraan menjatuhkan hukuman terhadap Barrett, Erin berkata, dia masih dihantui kebimbangan dan malu untuk berdepan dengan orang ramai selepas kejadian.
“Saya menjadi mangsa setiap hari dan saya tidak melakukan kesalahan untuk menjadi begitu,” kata wartawan berkenaan.
Menurut Erin, hotel itu bersalah kerana cuai sehingga membolehkan Barrett menghendapnya. - AFP