|

"Tilam Nikmat" bawa padah...

KUANTAN – Tidak masuk akal apabila ‘tilam nikmat’ berharga RM9,800 yang ditawarkan seorang jurujual boleh menjadi satu bentuk pelaburan yang membawa pulangan berlipat kali ganda sehingga RM16,500 sekiranya dijualkan semula.


Gara-gara terpedaya dengan tawaran ‘menarik’ dan janji manis jurujual wanita sebuah syarikat jualan langsung itu, seorang warga emas akhirnya masuk jerat sehingga sanggup membayar harga tilam kesihatan tersebut kerana tertarik dengan keuntungan lumayan.

Rasol, 74 (bukan nama sebenar) berkata, dia didatangi jurujual terbabit ketika berada di ruang legar sebuah pusat membeli belah di sini, 6 November lalu.

Dia berkata, jurujual itu berjaya memujuknya supaya membeli sebuah tilam yang dikenali sebagai ‘tilam nikmat’ dengan harga RM9,800.

“Dia memberi jaminan saya akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda sekiranya menjual semua tilam tersebut malah mereka berjanji akan mendapatkan pembeli baru setelah membuat pembayaran.

“Kerana terpedaya dengan tawaran itu, saya membayar harga tilam itu secara tunai di pejabat syarikat terbabit dan membawa pulang tilam tersebut ,”katanya.

Menurutnya, dia tidak bercadang untuk menggunakan tilam tersebut sebaliknya menunggu bakal pembeli baru untuk membelinya seperti yang dijanjikan.

“Bagaimanapun selepas seminggu, tiada sebarang jaminan daripada syarikat terbabit bahawa akan ada pembeli yang akan membeli tilam itu.

“Saya mula rasa tertipu kerana percaya harga tilam itu jauh lebih murah kira-kira beberapa ratus ringgit sahaja lalu menuntut syarikat terbabit memulangkan kembali wang yang sudah dibayar ,”katanya.

Menurutnya, dia membuat keputusan membawa kes itu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi mendesak syarikat terbabit memulangkan kembali wang tersebut.

Hak pengguna itu mendapat pembelaan apabila Presiden TTPM, Quaik Chong Yu , mengarahkan syarikat tersebut memulangkan semula RM9,800 kepada warga emas tersebut dalam tempoh 14 hari bermula dari tarikh keputusan itu, semalam.

Sementara itu dalam kes berasingan, sebuah syarikat perkhidmatan pelangsingan badan diarahkan membayar ganti rugi RM3,500 kepada pelanggannya yang telah terpedaya dengan pakej ditawarkan.

Tan Gek Chuan, 41 mendakwa menggunakan pakej pelangsingan ditawarkan secara percuma diberikan oleh syarikat terbabit pafa 22 September lalu.

Menurutnya, dia kemudian diminta membayar pakej pelangsingan lain bagaimanapun tiada sebarang perubahan berlaku ke atas dirinya selepas mengikuti pakej yang ditawarkan.

“Saya dapati ia tidak berkesan dan ingin membatalkan pakej tersebut namun ditolak sebaliknya mereka menggantikannya dengan produk berasaskan kopi untuk diminum,” katanya.

Menurutnya, selepas mencuba sehingga 11 paket saya mula mengalami kesan sampingan seperti cepat lapar, dahaga dan sering keletihan manakala kandungan gula dalam darah turut meningkat,” katanya.

“Saya memfailkan kes ini ke TTPM 4 November lalu, bagaimanapun semua pihak bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan tersebut di luar tribunal namun sehingga kini belum ada sebarang bayaran dibuat,” katanya.

Quaik mengarahkan syarikat berkenaan membayar balik sejumlah wang seperti yang dipersetujui sebelum ini dalam tempoh tujuh hari.

-Sinar Harian


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 12:51 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for ""Tilam Nikmat" bawa padah..."

Leave a reply

Blogged.my