Teman wanita ugut sebar video tak senonoh di Internet
KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis teknologi maklumat berusia 31 tahun trauma selepas perkenalannya dengan seorang wanita di laman sembang sosial berakhir ugutan untuk menyebarkan video kurang sopan mangsa di rumahnya di Taman Danau Desa, di sini, Jumaat lalu.Menurut sumber, dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa yang melayari Internet menerima satu mesej daripada seorang wanita yang ingin berkenalan dengannya.
Selepas membalas teguran berkenaan, wanita terbabit mencadangkan mereka berbual melalui telefon dan mangsa tidak mengesyaki apa-apa bersetuju dengan ajakan itu.
“Wanita terbabit menghubunginya dan mereka berbual sebelum mangsa menyedari dirinya dirakam melalui video kamera laman sembang berkenaan dalam keadaan tidak sopan.
“Mangsa tersentak dan mengakhiri perbualan berkenaan yang berlangsung sejam,” katanya.
Difahamkan, selepas menamatkan perbualan itu, wanita terbabit mula mengganggu mangsa dengan menelefonnya berkali-kali jam 8 malam hingga 1 pagi keesokan harinya.
Bagaimanapun, mangsa tidak melayan setiap panggilan itu menyebabkan wanita terbabit menghantar SMS dan mengugut menyebarkan video kurang sopan dirakam untuk tatapan ahli keluarga serta rakan.
“Berkali-kali wanita terbabit menghantar SMS ugutan itu, malah bertindak melampau dengan menghantarnya kepada ahli keluarga serta rakan mangsa,” katanya.
Menurut sumber, mangsa yang tidak menyangka wanita terbabit bertindak melampaui batas membuat laporan polis kerana perkara itu menjatuhkan maruahnya selain mengancam keselamatannya.
myMetro