SIMPAN DADAH DALAM TUALA WANITA...
KUALA LUMPUR: Penahanan empat wanita Malaysia dalam tempoh tiga hari di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Woodlands, Singapura, sejak awal bulan ini mendedahkan taktik baru penyeludup dadah dengan menyembunyikan bahan terlarang itu di celah tuala wanita dipakai mereka.
Khamis lalu, seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan Biro Narkotik Pusat (NCB) republik berkenaan di CIQ Woodlands, sejurus tiba dari Johor Bahru dan hasil pemeriksaan menemui 960 gram heroin bernilai lebih S$150,000 (RM365,000) disembunyikan dalam tuala wanita digunakannya.
Sumber memberitahu Berita Harian, hasil soal siasatnya membawa kepada penahanan suspek kedua, wanita berusia 21 tahun, juga di lokasi sama pada keesokan hari dan menemui bungkusan plastik berisi pil ecstasy, syabu dan kanabis dalam pakaian dalamnya.
“Dalam kes terbaru, Sabtu lalu, NCB dengan kerjasama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menggagalkan satu lagi cubaan menyeludup dadah oleh dua wanita Malaysia, berusia 23 dan 28 tahun.
“Penahanan dan pemeriksaan mereka menemui 1.6 kilogram heroin dan 254 gram syabu bernilai mencecah S$307,700 (RM749,389).
“Kedua-dua suspek itu juga menggunakan cara sama, menyembunyikan dadah dalam tuala wanita dipakai mereka, selain memakai seluar dalam tebal dan seluar ketat bagi mengelak dadah itu dikesan,” katanya. Turut ditahan seorang pemandu teksi berusia 60 tahun.
Sumber berkata, siasatan mendapati semua dadah dirampas itu sudah siap diproses dan dipercayai untuk dihantar ke rangkaian pengedaran mereka di republik berkenaan.
“Keseluruhannya, dadah bernilai lebih RM1 juta berjaya dirampas daripada keempat-empat wanita itu, sekali gus rampasan terbesar di Singapura tahun ini,” katanya.
Sumber itu berkata, ini kali pertama polis negara berkenaan mengesah taktik menyembunyikan dadah di dalam tuala wanita.
“Semua suspek kini ditahan direman untuk siasatan lanjut, terutama untuk mengenal pasti dari mana bekalan dadah berkenaan diperoleh, siapa pengantara dan rangkaian pengedarnya di republik itu.
“Siasatan turut mengambil kira kemungkinan semua wanita terbabit diperdayakan penyeludup dadah,” katanya.