|

Sembang Rakyat di Youtube hina Hukum Allah

Rakaman Sembang Rakyat mengenai hudud di Kelantan yang dipaparkan di laman video sosial Youtube sejak beberapa hari lalu perlu dihentikan serta-merta kerana jelas ia mempersendakan hukum Allah SWT.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sekiranya rakaman itu dibiarkan hukum hudud yang terkandung di dalam al-Quran akan menjadi bahan cercaan dan kutukan sedangkan hukuman tersebut adalah ciptaan Allah.

Lebih malang lagi, katanya, pelakon-pelakon dalam rakaman itu adalah di kalangan mereka yang tidak ada ilmu berkaitan hingga menyebabkan isi perbincangan bertentangan dengan syarak.

''Kita menolak pelaksanaan hudud di Kelantan bukan disebabkan hukum hudud, tetapi disebabkan oleh hudud yang didatangkan dalam bentuk versi sedangkan ia merupakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah.

''Selain itu terdapat kesalahan yang perlu diperbetulkan sebelum hukum ini dilaksanakan. Kita juga tidak kata semua peruntukan dalam enakmen hudud ini salah. Oleh itu, saya minta mereka yang tidak ada ilmu tentang hukum ini supaya jangan bercakap. Akibatnya dari segi akidah amat buruk,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga penggerak utama ulama muda UMNO berkata demikian ketika mengulas rakaman Sembang Rakyat mengenai hudud di Youtube yang jelas mencerca hukum ciptaan Allah itu.

Dalam rakaman tersebut terdapat beberapa pelakon termasuk bukan Islam yang membincangkan soal pelaksanaan hudud secara salah hingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam.

Fathul Bari berkata, pelaksanaan hukum hudud juga bergantung kepada kesesuaian namun kewajipan untuk melaksanakannya pada satu masa paling sesuai tetap menjadi tanggungjawab kepada semua umat Islam terutama pemerintah.

Dalam perkembangan berkaitan, Fathul Bari yakin rakaman itu bukan tajaan UMNO sebaliknya oleh pihak tertentu yang sengaja mempermainkan hukum Allah.

''Cuba kita amati ucapan dasar dan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung sebelum ini bagaimana beliau menegaskan bahawa UMNO akan membela kesucian Islam, bangsa dan negara.

''Saya tidak fikir UMNO yang lakukan kerana UMNO mempunyai komitmen yang tinggi untuk memelihara Islam. Saya percaya ia dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga membuatkan umat Islam menjadi resah,'' katanya lagi.

Fathul Bari berkata, beliau terpaksa tampil membuat kenyataan kerana apa yang dipaparkan dalam Youtube itu dari segi hukumnya adalah haram dan wajib diperbetulkan.

Apatah lagi, katanya, mereka yang sengaja berbuat demikian boleh memberi kesan dari segi akidah.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menghayati maksud satu hadis Rasulullah riwayat ibnu Majah; ''Akan tiba satu zaman di mana yang benar dikatakan bohong, yang bohong dikatakan benar. Amanah dikatakan khianat, khianat dikatakan amanah. Akan muncul pada zaman itu golongan 'Ruwaibidhoh' iaitu orang yang jahil tentang agama bercakap mengenai urusan manusia.''

Utusan


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:58 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Sembang Rakyat di Youtube hina Hukum Allah"

Leave a reply

Blogged.my