|

Pemimpin tertinggi PAS mesti orang Islam

SHAH ALAM – Pas tetap mengutamakan mereka beragama Islam memegang jawatan tertinggi dalam parti dan keputusan melantik bukan Islam sebagai timbalan presiden atau setiausaha agungnya mustahil dilaksanakan.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, melantik bukan Islam mengisi jawatan itu memerlukan pindaan perlembagaan dan persetujuan sepenuhnya daripada muktamar.

“Jika (Ahli Jawatankuasa Pas Pusat) Dr Dzulkefly Ahmad mengesyorkan untuk membuka pintu membolehkan bukan Islam dilantik ke jawatan timbalan presiden, saya rasa itu hanya pandangan peribadinya dan tiada kaitan dengan dasar parti. Ia bukan keputusan Pas.

“Pas tidak pernah berbincang mengenainya. Ia bukan perkara mudah kerana memerlukan suara majoriti dan mereka perlu bersetuju serta menerima keputusan untuk membuka jawatan itu kepada bukan Islam,” katanya.

Katanya, orang bukan Islam perlu memeluk Islam dan menjadi ahli Pas sebelum boleh diberi jawatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu hanya sekadar teori dan sukar dilaksanakan pada masa sekarang.

“Saya kira Pas patut kekalkan sahaja apa yang ada sekarang,” katanya.

Menurutnya, kekangan daripada perlembagaan menyebabkan Pas tidak boleh menerima bukan Islam memegang jawatan tertinggi parti berkenaan, tetapi tidak boleh meramalkan apa yang boleh berlaku pada masa hadapan.

“Kalau tanya saya sekarang, ia tidak boleh. Jika bukan Islam berminat dengan Pas, mereka disyorkan menganggotai Dewan Himpunan Penyokong Pas, tetapi tetap tidak boleh memegang jawatan timbalan presiden,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan meminta penjelasan daripada Dzulkefly mengenai perkara itu, beliau akan berbuat demikian jika berjumpa dengannya.

Dr Dzulkefly membuat kenyataan itu dalam Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ kelmarin.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:46 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Pemimpin tertinggi PAS mesti orang Islam"

Leave a reply

Blogged.my