|

Jawatan No. 2: 'Hanya pandangan peribadi'

SHAH ALAM - Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain berpendapat belum tiba masa bagi parti itu menerima orang nombor dua daripada kalangan orang bukan Islam.

Sehubungan itu kata beliua, perkara tersebut perlu dirujuk kepada peraturan dan perlembagaan Pas terlebih dahulu agar tidak timbul masalah lain.

“Pelbagai diskusi boleh dilakukan bagi membincangkan isu ini kerana sehingga kini individu yang layak adalah beragama Islam tidak kira mereka dari kaum lain,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang menyatakan bahawa jangan terkejut jika beberapa tahun akan datang, orang nombor dua Pas bukan seorang yang beragama Islam, dalam Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk "Mengapa Undi Melayu Pecah" anjuran Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin.

Abu Bakar berkata, mungkin ia satu pandangan yang baik tetapi dari sudut pandangan peribadi semata-mata.

Katanya, apa yang lebih penting perlu lihat kepada dasar perjuangan Islam sebenar.

“Bagaimanapun, pada saya orang Islam tetap menjadi pilihan untuk menyandang jawatan nombor dua itu,” katanya.

Abu Bakar turut mengulas berhubung isu undi Melayu berpecah, namun menyifatkan perpecahan tidak berlaku sebaliknya kefahaman dan perjuangan terhadap Islam itu yang berpecah.

“Perpecahan orang Melayu sebenarnya kerana mereka tidak bersedia untuk memperjuangkan Islam.

“Kita boleh anggap ia sebagai satu transformasi untuk memperkenalkan Islam itu supaya lebih syumul,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani pula berkata, kenyataan Zulkefly hanyalah bersifat pandangan peribadi.

Menurut Mohd Taufek, kenyataan tersebut bukanlah bersandar kepada keputusan parti.

“Menerima jawatan timbalan presiden dalam kalangan bukan Islam hanyalah pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili parti.

“Pas tidak pernah bincang perkara berkenaan, malah tidak pernah membuat keputusan meletakkan bukan Islam menjadi orang nombor dua parti,” katanya.

Mohd Taufek berkata, sesuatu perkara besar yang melibatkan kepentingan parti perlu dibincang dalam majlis Syura dan mesyuarat agung tahunan parti.

“Perkara sebegini memerlukan kata sepakat dan keputusan mewakili parti terlebih dahulu kerana ia melibatkan perkara besar.

“Kita hormat pandangan peribadi beliau, namun kenyataannya itu bukanlah mewakili parti,” katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:48 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Jawatan No. 2: 'Hanya pandangan peribadi'"

Leave a reply

Blogged.my