|

PAS Pusat Optimis Phahrolrazi, Ismail Akan Kembali Sebagai Exco Kedah

PAS Pusat pada Isnin optimis bahawa Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Ismail Salleh akan menerima keputusan parti untuk kembali menjadi exco negeri Kedah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, ia merupakan keyakinan parti terhadap keputusan yang dicapai pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Alor Setar, Kedah pada lewat Sabtu lalu.

"Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Kedah seperti biasa.

"Manakala YB (Yang Berhormat) Phahrolrazi dan YB Ismail perlu kembali semula sebagai exco dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Isnin.

Turut hadir adalah dua Naib Presiden PAS, masing-masing Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Mustafa berkata, PAS Pusat sudah pun memaklumkan mengenai keputusan parti kepada Phahrolrazi dan Ismail secara lisan namun masih belum menerima jawapan secara rasmi daripada kedua-duanya.

Beliau berkata, parti bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tempoh kepada mereka untuk memberi maklum balas berhubung keputusan itu.

“Kita tidak mahu membuat sebarang andaian (sekiranya Phahrolrazi dan Ismail enggan kembali menjadi exco) kerana kita sudah optimis (kedua-duanya menerima keputusan itu)).

Ketika ditanya bilakah kedua-dua mereka akan mengangkat sumpah sebagai exco memandangkan pelantikan jawatan itu akan tamat pada 7 Mac ini, Mustafa berkata: “Itu kita akan serahkan kepada pentabiran Kedah.”

Menurut Mustafa, menerusi mesyuarat khas pada lewat Sabtu lalu, PAS yakin semua kemelut yang berlaku dalam kepimpinan negeri Kedah dapat diselesaikan.

“Semua yang terlibat sebelum ini sudah menyebut, apa-apa pun terserah kepada PAS pusat untuk memutuskannya. Dan kita telah membuat keputusan itu,” katanya.

Mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat yang diadakan di Alor Setar dipengerusikan sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Krisis kepimpinan di Kedah berlanjutan selepas dua exconya termasuk Phahrolrazi dan Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Ismail Salleh menolak pelantikan semula jawatan, tetapi meletakkan syarat sekiranya mahu mereka menerima semula tawaran itu.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 3:53 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "PAS Pusat Optimis Phahrolrazi, Ismail Akan Kembali Sebagai Exco Kedah"

Leave a reply

Blogged.my