|

Sistem ALiS atasi pengundi hantu

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menambah baik dan mengemas kini daftar pemilih dengan segera menerusi pengenalan Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi (ALiS), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, sistem itu selaras dengan syor dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) sebelum ini.

“Menerusi penggunaan sistem ini, saya amat berharap isu pengundi hantu seperti didakwa pihak tertentu tidak lagi timbul dan dijadikan bahan politik murahan untuk mengelirukan rakyat.

“Selain memudahkan urusan mendapatkan permit mengubur dan sijil kematian, sistem perkongsian maklumat ini yang membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan lapan agensi kerajaan lain turut diyakini dapat menyelesaikan isu pengundi hantu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, melalui ALiS laporan kematian seorang pengundi akan terus disalurkan kepada semua agensi yang berkongsi maklumat, termasuk SPR yang akan bertindak mengemas kini data daftar pemilih dengan mengeluarkan nama si mati selepas menerima laporan secara atas talian.

Katanya, sebelum ini SPR tidak boleh sewenang-wenangnya membuang nama pengundi yang didakwa sudah meninggal dunia jika tidak dibuktikan waris si mati dengan sijil kematian dikeluarkan JPN.

“Ini juga membuktikan kerajaan sentiasa serius, komited dan telus dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat di negara ini,” katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 10:51 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Sistem ALiS atasi pengundi hantu"

Leave a reply

Blogged.my