Putus cinta, lelaki ugut sebar gambar bogel palsu di Facebook
Gambar Hiasan |
Wanita berusia 27 tahun itu muncul semula dalam hidup mangsa selepas setahun hubungan mereka terputus dan tuntutan itu kononnya sebagai ganti rugi nilai kad prabayar digunakannya bagi menghubungi mangsa sepanjang tempoh perkenalan mereka.
Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali Din, 22, berkata, dia sebenarnya tidak pernah bersua wanita dipercayai dari Sabah itu dan hanya mengenalinya menerusi facebook.
“Saya menyangka tiada apa berlaku selepas hubungan itu berakhir, tetapi malangnya dia muncul semula selepas setahun dan menghantar SMS supaya saya membayar RM600 kepadanya.
“Bayaran itu kononnya sebagai ganti rugi kerana sudah banyak mengeluarkan banyak wang membeli kad prabayar telefon bimbit yang digunakan untuk menghubungi saya sepanjang kami berkenalan,” katanya.
Menurut mangsa, oleh kerana tidak mahu perkara itu berpanjangan, dia membayar RM150 kepada bekas teman wanitanya itu dengan harapan wanita itu dapat melupakannya dan meneruskan haluan masing-masing.
“Saya membayar RM150 selepas dinasihatkan rakan, namun sejak lima hari lalu, saya menerima SMS bertalu-talu daripada wanita itu yang menuntut baki bayaran.
“Saya hanya mendiamkan diri sehinggalah menerima SMS berbaur ugutan jika saya berdegil tidak mahu menjelaskan baki bayaran diminta,” katanya yang sudah memiliki teman wanita baru.
Mangsa berkata, kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin, dia dihubungi teman wanitanya memaklumkan gambar separuh bogelnya di facebook yang dimuat naik oleh seseorang tidak dikenali.
“Apabila diperiksa, teman wanita memaklumkan gambar itu dimasukkan menggunakan akaun facebook orang lain dan apabila saya cuba menjejaki akaun facebook dimaksudkan itu, ia seolah-olah sudah dipadamkan,” katanya.
Din berkata, dia tidak pernah bertemu atau merakam gambar bersama bekas teman wanita, malah hubungan sebelum ini sekadar menerusi telefon atau facebook.
“Saya membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan kerana ia bukan saja ugutan, malah cuba mengaibkan saya dengan dakwaan tidak berasas.
“Kini, saya menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan. Saya tidak pernah mengambil atau menghantar gambar kepada bekas teman wanita.” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan.