Pengurus Safee: Kenyataan PSSI satu fitnah
TIDAK sampai 48 jam Safee Sali sah menyambung kontrak bernilai RM2 juta bersama Pelita Jaya, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dilaporkan mengeluarkan amaran kemungkinan masa depan Safee dengan skuad Harimau Malaya bakal terjejas.Ia berikutan Liga Super Indonesia (ISL), kini berdepan dengan pengharaman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Menurut laporan disiarkan portal berita Indonesia, Republika.co.id, PSSI bukan mahu mencampuri urusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi memberi peringatan bahawa status Safee bersama pasukan kebangsaan dalam bahaya berikutan bermain dalam liga haram.
PSSI juga mendakwa Fifa sebelum ini, meminta senarai nama pemain yang beraksi di ISL daripada pihaknya dan Safee berada dalam senarai berkenaan.
Namun begitu, pengurus Safee, Zakaria Rahim ketika dihubungi Sinar Harian semalam pantas menafikan laporan berkenaan dan menganggapnya sebagai fitnah bertujuan menjatuhkan karier bekas peledak utama Selangor itu.
“Laporan itu ternyata palsu kerana Safee masih boleh bermain mewakili negara dan beliau akan kembali ke Malaysia pada 22 Februari ini untuk persiapan perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi di Australia.
“Fifa hanya haramkan PSSI dan bukannya ISL. Sekalipun perkara itu benar berlaku, kelab telah memberi jaminan Safee boleh dipindahkan ke kelab lain yang dimiliki mereka,” katanya yang terkilan dengan laporan tidak berasas itu.
Zakaria berkata, ia memberi kesan kepada banyak pihak yang gusar dengan status Safee kerana apa yang dikecapi oleh pemain kebangsaan itu sewajarnya dijadikan contoh kepada pemain negara lain untuk meluaskan karier bola sepak ke tahap yang lebih baik.