|

Hadi bersandirawa politik : UMNO

Hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berundur daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk di kawasan Parlimen Marang khususnya Dun Rhu Rendang mahupun pemimpin lain.

Apa pun pendapat mereka, bagi Abdul Hadi, keputusan itu dibuat memandangkan beliau sudah terlalu lama memegang jawatan wakil rak­yat, sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang mahu pun Ahli Parlimen Marang.

“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Adun, iaitu sejak 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

“Saya rasa, sudah sampai masanya beri laluan kepada orang lain pula,” katanya.

Jauh di lubuk hati Abdul Hadi, beliau sebenarnya mahu melaksanakan tanggungjawab yang lebih luas - sebagai Presiden Pas - bergerak ke se­luruh negara untuk memantapkan jentera dan kepimpinan parti sekali gus mencapai matlamat yang lebih besar.

“Selain itu, saya mahu beri peluang kepada pelapis yang diyakini mampu untuk memikul tanggungjawab meneruskan dasar perjuangan Pas. Saya lihat ramai pemimpin pelapis yang berkemampuan dan boleh diberi tang­gungjawab.

“Saya dulu pun diberi amanah oleh kepimpinan untuk bertanding di kerusi Dun pada usia terlalu muda, malah ketika menjadi Naib Presiden, saya baru berusia 30-an,” katanya.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Bakar yang merupakan satu-satunya lawan daripada Barisan Nasional (BN) pernah menewaskan Abdul Hadi di kerusi Parlimen Marang sehingga digelar ‘The Giant Killer’ menyifatkan kenyataan mahu berundur oleh Presiden Pas itu hanya sandiwara dan sekadar menguji pasaran.

“Dia hanya nak tengok respon ahli, pemimpin Pas serta rakan politik dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Malah Abdul Rahman yakin, Abdul Hadi akan bertanding di kedua-dua kerusi yang disandangnya ketika ini iaitu kerusi Parlimen Marang dan Dun Rhu Rendang memandangkan kerusi tersebut masih mempunyai harapan dimenangi Pas.

Tinjauan Sinar Harian dalam kalangan penduduk di Parlimen Marang dan Rhu Rendang pula mendapati ramai yang mahu Abdul Hadi terus menjadi wakil rakyat kawasan itu walaupun ada beberapa yang bersetuju agar golongan pelapis diberi peluang untuk menguji keupayaan.

Seorang daripada penduduk yang bersetuju dengan pelan pengunduran Abdul Hadi, Mat Min Mat Nor, 45, berkata, langkah itu akan membuka peluang kepada pemimpin pelapis.

“Soal kalah atau menang sudah menjadi perkara kedua kerana selagi peluang tidak dibuka, golongan muda tidak akan mendapat pengalaman bertanding,” kata penduduk Rusila, Marang, kubu kebal bagi Abdul Hadi.

Manakala Mohd Noor Hassan, 36, pula berkata, Abdul Hadi sudah terlalu lama memegang jawatan sebagai Adun dan harus beri peluang kepada golongan pelapis.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, rata-rata ahli Pas yang ditemui masih berharap beliau menarik balik hasrat itu dan teruskan perjuangan.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:39 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Hadi bersandirawa politik : UMNO"

Leave a reply

Blogged.my