Pelajar didera ibu tiri hampir bunuh diri
Gambar Hiasan |
Mangsa ditemui dengan kesan lebam di bahagian pipi dan lengan kiri dipercayai didera oleh ibu tiri dengan kayu pada 20 Februari lalu hanya kerana mangsa telah membawa sijil kelahiran ke sekolah untuk menyertai pasukan bola keranjang tanpa memaklumkan kepadanya.
Berikutan itu, satu laporan polis telah dilakukan oleh pak cik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 21 Februari lepas apabila mendapati masalah tersebut semakin serius.
"Dia berasa amat takut dan tidak dapat menumpukan perhatian ke atas pelajarannya sekarang dan mengadu ingin bunuh diri," kata pak cik mangsa, 31, ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya kanak-kanak tersebut kini ditempatkan di rumah neneknya di Rumah Panjang Jinjang Utara kerana tidak gembira tinggal bersama dengan ibu tiri dan bapa kandung yang merupakan seorang penagih dadah.
"Saya juga difahamkan bahawa pihak polis telah memberkas ibu tiri mangsa dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei yang melawat mangsa penderaan itu hari ini berkata kementeriannya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) akan menempatkan mangsa di rumah neneknya selama sebulan bagi tujuan siasatan kes.
"Kita akan berunding dengan bapa mangsa dengan harapan kedua-dua pihak akan mencapai kata sepakat tetapi jika ia tidak berjaya, kes ini akan dibawa ke mahkamah bagi menempatkan mangsa terus di bawah jagaan nenek sehingga dia berumur 18 tahun," katanya.
Beliau menyeru orang ramai untuk menghubungi Talian Nur 15999 sekiranya mendapat sebarang maklumat kes penderaan berlaku di kawasan perumahan mereka. - Bernama