|

All England: Chong Wei sasar hatrik

HARAPAN untuk meraih gelaran hatrik menjadi sasaran utama pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei pada Kejohanan All England di Birmingham, England, dari 6 hingga 11 Mac ini.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata tahap keyakinan diri dan stamina anak buahnya untuk menghadapi kejohanan berprestij itu dilihat semakin memberangsangkan.

"Saya nampak tahap keyakinan dia (Chong Wei) lebih baik berbanding tahun lepas. Sasaran kita harap dia dapat cipta hatrik kali ini.

"Kita bagaimanapun tidak mahu memberi tekanan supaya dia menang... harap Chong Wei menggunakan peluang ini sebagai pendedahan dan persediaan bagi menghadapi Sukan Olimpik di London pada Julai nanti," katanya kepada pemberita di Stadium Juara, di sini, hari ini.

Juara All England edisi 2010 dan 2011 itu berada di laluan mudah dalam kejohanan tersebut apabila diundi menentang juara remaja dunia 2008 dan juara Asia 2010, Wang Zhengming dari China pada pusingan pertama sebelum bertemu perseorangan utama Indonesia Simon Santoso di pusingan kedua.

Lawan pemain Malaysia itu di suku akhir ialah Sho Sasaki dari Jepun. Di peringkat separuh akhir, Chong Wei dijangka bertemu sama ada Peter Hoeg Gade dari Denmark atau Lee Hyun Il dari Korea Selatan.

Chong Wei dijadualkan akan menghadapi tiga kejohanan penting sebelum bersiap sedia ke Sukan Olimpik iaitu Kejohanan Terbuka India, Terbuka Indonesia dan kemungkinan Kejohanan Akhir Piala Thomas pada Mei depan.

"Walaupun jadual Chong Wei padat, ia tidak memberi atau mengGanggu persediaanChong Wei ke Olimpik. Kita akan pastikan tiga minggu sebelum ke London, Chong Wei akan memberi perhatian khusus pada latihannya nanti.

"Chong Wei perlu guna peluang ini untuk menguatkan lagi stamina dan persediaan menghadapi Olimpik nanti. Peluang mennyertai kejohanan seperti kejohanan terbuka (open series) penting bagi proses untuk menyesuaikan diri ke Olimpik," katanya.

Tey berkata Chong Wei merupakan seorang pemain yang sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal apabila menghadapi setiap kejohanan dan perlu dicontohi oleh pemain muda seperti Liew Daren, Mohammad Arif Abdul Latif dan Zulfadli Zulkifli.

Tey berkata, beliau berharap perseorangan ketiga negara, Daren segera mencari penyelesaian terbaik secepat mungkin supaya lebih konsisten dan bersedia menghadapi apa jua kejohanan.

"Sekarang ini kita fokus pada dia (Daren) supaya lebih konsisten, sebab masa bermain pada peringkat kelayakan Piala Thomas di Macau, prestasinya bagus namun ketika di Kejohanan Terbuka Selangor baru-baru ini, prestasinya menurun.

"Apa yang saya nampak Daren mempunyai masalah dari segi persediaan mental, pemain muda ini sentimental, seperti terikut-ikut dengan perasaan takut dan sukar mengawal tekanan," katanya.

Tey berkata, beliau mengharapkan bagi tempoh tiga tahun lagi, Daren mampu menggantikan Chong Wei. - Bernama


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 10:27 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "All England: Chong Wei sasar hatrik"

Leave a reply

Blogged.my