Pekerja Kedai Aksesori Kereta Mati Dibunuh
SUNGAI PETANI – Mayat seorang pekerja kedai aksesori kereta dipercayai dibunuh ditemui dalam bilik air tempat kerjanya di Taman Cindai di sini.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, Raja Dzulhairi Raja Ali, 19, ditemui dalam keadaan terbaring oleh majikannya pada kira-kira pukul 10 pagi tadi.
“Pemilik kedai yang juga saudara mangsa, tiba kira-kira pukul 10 pagi mendapati kedai yang sepatutnya dibuka pada pukul 8 pagi, tidak dibuka, lalu meneriak memanggil nama Raja Dzulhairi tetapi tidak dijawab.
“Setelah memeriksa, beliau dapati pintu tidak berkunci lalu masuk dan menemui mayat mangsa di dalam bilik air,” katanya.
Beliau berkata, polis tidak menemui tanda pergelutan pada mayat dan yakin Raja Dzulhairi mengenali pembunuhnya yang melemaskan mangsa serta mengambil barangan berharga.
“Motosikal dan komputer riba mangsa juga hilang manakala beberapa aksesori kereta dalam kedai turut dilarikan suspek,” katanya yang membuka kertas siasatan kes mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA