|

Oscar 2012 : ‘The Artist’ Filem Terbaik, Ungguli Lima Anugerah

HOLLYWOOD: Filem bisu hitam putih arahan pengarah Perancis Michel Hazanavicius, The Artist menerima pengiktirafan tertinggi sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Academy ke-84 pada malam Ahad (waktu tempatan), di sini.

Filem yang melakar sejarah sebagai filem bukan bahasa Inggeris pertama yang meraih kejayaan tertinggi di anugerah Oscar itu turut membawa pulang empat anugerah lain iaitu Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Skor Asal Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik.

“Saya adalah pengarah filem yang paling gembira di dalam dunia pada waktu ini,” kata Hazanavicius ketika berucap menerima kemenangan anugerah Pengarah Terbaik.

The Artist berkisar tentang kisah seorang bintang filem bisu George Valentin lakonan aktor Perancis, Jean Dujardin yang terpaksa menyesuaikan diri dengan perkembangan era filem suara
.
“Saya sayangkan negara anda (Amerika Syarikat),” kata Dujardin ketika menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, yang merupakan lelaki Perancis pertama memenangi kategori itu.


Jean Dujardin dinobat Pelakon Lelaki Terbaik 2012 menerusi The Artist

Filem pengembaraan 3D arahan Martin Scorsese, Hugo yang tercalon menerusi 11 kategori berbanding 10 pencalonan untuk The Artistturut menggondol lima anugerah.

Bagaimanapun, kesemua trofi itu diperolehi daripada aspek teknikal.

Aktres veteran Meryl Streep memenangi Pelakon Wanita Terbaik menerusi The Iron Lady.

Ia adalah kemenangan ketiga buat aktres berusia 62 tahun itu dan yang pertama dalam tempoh tiga dekad. Kemenangan itu sekaligus mengukuhkan status Streep sebagai aktres terunggul dalam generasinya.


Aktres veteran Meryl Streep memenangi Pelakon Wanita Terbaik buat kali ketiga dalam sejarah Oscar.

Streep yang menggalas watak bekas Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher, berkata: “Oh, tidak, saya dapat merasakan separuh daripada warga Amerika akan berkata, ‘Dia lagi (menang).’ Tetapi saya tidak peduli.”

Octavia Spencer yang membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi watak pembantu rumah berkulit hitam dalam drama hak asasi, The Help menerima tepuk sanjungan daripada penonton.

Aktor veteran Kanada, Christopher Plummer yang menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Beginners mengakhiri penantian selama enam dekad sebagai pelakon untuk memenangi Oscar.

Antara pemenang lain termasuklah filem animasi Rango yang dinobat Filem Cereka Animasi Terbaik dan Woody Allen yang dinobat Lakon Layar Asal Terbaik untuk filem arahannya iaitu Midnight in Paris.

Majlis gemilang itu membariskan bintang-bintang besar termasuk pemenang Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pada tahun lalu iaitu Colin Firth dan Natalie Portman, Tom Cruise, Penelope Cruz, Tom Hanks dan Angelina Jolie selaku penyampai.

Antara pertunjukan memukau pada acara itu adalah persembahan bertemakan sinema oleh kumpulan penari dari Kanada, Cirque du Soleil dalam akrobatik luar biasa yang melangkaui pentas dan siling auditorium tersebut.


Pengarah filem Iran, Asghar Farhadi yang memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik menerusi A Separation

“Wow, saya menjadi kejang menyaksikan persembahan itu,” kata pengacara veteran Billy Crystal, yang mengemudi anugerah itu untuk kali kesembilan.

Pelawak British, Sacha Baron Cohen turut mencuri perhatian apabila tampil berpakaian seperti watak filem terbarunya, The Dictator dan menuang abu mayat palsu mendiang pemimpin Korea Utara, Jim Kong-Il pada acara karpet merah. - AFP

Berikut adalah senarai penuh penerima Oscar 2012:

Filem Terbaik
The Artist
Pengarah Terbaik
The Artist, Michel Hazanavicius
Pelakon Lelaki Terbaik
Jean Dujardin, The Artist
Pelakon Wanita Terbaik
Meryl Streep, The Iron Lady
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Christopher Plummer, Beginners
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Octavia Spencer, The Help
Filem Cereka Animasi Terbaik
Rango, Gore Verbinski
Pengarahan Seni Terbaik
Hugo, Dante Ferretti (Rekaan Produksi) dan Francesca Lo Schiavo (Dekorasi Set)
Sinematografi Terbaik
Hugo, Robert Richardson
Rekaan Kostum Terbaik
The Artist, Mark Bridges
Suntingan Terbaik
The Girl with the Dragon Tattoo, Kirk Baxter dan Angus Wall
Filem Bahasa Asing Terbaik
A Separation, pengarah Asghar Farhadi (Iran)
Solekan Terbaik
The Iron Lady, Mark Coulier dan J. Roy Helland
Suntingan Bunyi Terbaik
Hugo, Philip Stockton dan Eugene Gearty
Adunan Bunyi Terbaik
Hugo, Tom Fleischman dan John Midgley
Dokumentari - Cereka
Undefeated, TJ Martin, Dan Lindsay dan Rich Middlemas
Dokumentari - Pendek
Saving Face, Daniel Junge dan Sharmeen Obaid-Chinoy
Kesan Visual Terbaik
Hugo, Rob Legato, Joss Williams, Ben Grossman dan Alex Henning
Muzik (Skor Asal Terbaik)
The Artist, Ludovic Bource
Muzik (Lagu Asal Terbaik)
Man or Muppet, muzik dan lirik Bret McKenzie, The Muppets
Filem Pendek (Animasi) Terbaik
The Fantastic Flying Books of Mr. Morris Lessmore, William Joyce dan Brandon Oldenburg
Filem Pendek (Aksi Langsung) Terbaik
The Shore, Terry George dan Oorlagh George
Penulisan (Lakon Layar Adaptasi) Terbaik
The Descendants, oleh Alexander Payne dan Nat Faxon & Jim Rash
Penulisan (Lakon Layar Asal) Terbaik
Midnight in Paris, oleh Woody Allen


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:03 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Oscar 2012 : ‘The Artist’ Filem Terbaik, Ungguli Lima Anugerah"

Leave a reply

Blogged.my