Nik Abduh nasihat Karpal supaya belajar hormati agama lain
KOTA BHARU - Dewan Pemuda Pas menasihatkan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh supaya belajar untuk menghormati agama lain dan tidak memaksa masyarakat untuk menerima pandangan peribadinya.Timbalan Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam nada sinis berkata, pemimpin tertinggi DAP itu sepatutnya lebih menghormati agama lain dan tidak menyamakan ia dengan mahkamah.
“Walaupun sudah berusia, Karpal Singh sepatutnya belajar untuk menghormati setiap agama yang ada negara ini, dan bukan hanya memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain, politik bukan mahkamah,” katanya di sini, hari ini.
Nik Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.
Pada 7 Februari lalu, Nik Abduh dilaporkan berkata, kerajaan perlu menyiarkan iklan antisambutan Hari Kekasih untuk mencegah umat Islam dari menyambutnya.
Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ketika Pas rancak mempromosikan hak-hak bukan Islam supaya ia lebih adil, Karpal pula seolah-olah mengambil kesempatan menyekat hak asasi umat Islam yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak.
Menurutnya, keputusan menentang Hari Kekasih bukan hanya pendirian Pas semata-mata, sebaliknya ia juga dimahukan oleh semua umat Islam.
Katanya, semua pihak perlu terlibat dalam mendidik dan menyeru umat Islam ke arah kebaikan beragama, dan mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosikan Islam secara unggul.
“Dalam diri umat Islam ada agama, yang merupakan hak tertinggi, jadi mendidik mereka agar menghormati ajarannya adalah hak-hak asasi yang perlu ditegakkan,” katanya.
Akhabar Sinar Harian ini melaporkan kenyataan Karpal yang tidak bersetuju pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih pada Selasa ini.
Menurutnya, pendirian Pas tidak boleh dipertahankan kerana sambutan Hari Kekasih diterima umum, dan disambut hampir di semua negara.
“DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih, bukan satu langkah yang baik.
“Tindakan Pas adalah sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan," katanya.