Konsert lepas pilihanraya, kata Dato Siti Nurhaliza
Meskipun telah banyak kejayaan yang dicapai baik dalam karier nyanyian mahupun sebagai usahawan, terbaru telah dilancarkan produk SimplySiti Dermagic. Namun ada satu hasrat yang sudah lama di simpan oleh Dato Siti Nurhaliza iaitu mahu mengadakan konsert mega solonya.Apapun, berita gembira buat sekalian peminat, beliau kini sedang berusaha dan mengatur perancangan untuk merealisasikan impian itu, dalam tahun ini juga. Bila? Belum pasti tarikhnya tapi jika tidak ada aral melintang pukang, konsert tersebut akan diadakan selepas pilihan raya umum ke-13, nanti.
“Seperti yang Siti pernah kata sebelum ni, Siti teringin nak buat konsert. Setakat ni sudah ada 2,3 konsep yang sedang bermain difikiran. Tapi banyak lagi perancangan yang perlu diatur. Sekarang ni pun orang semua dok sibuk nak pilihan raya kan… InsyaAllah lepas-lepas pilihan raya nanti, bila tiba masanya Siti akan umumkan bila Siti akan realisasikan konsert tersebut’, kata Siti ketika ditemui ketika di sidang media sempena pelancaran produk terbaru Simplysiti, rangkaian set ‘Dermagic’, bertempat di Hotel Sunway Resort & Spa, Sunway, malam tadi.
Alang-alang sebut fasal hari mengundi, ditanya juga adakah beliau akan turut sama turun padang untuk sama-sama berkempen nanti?
“No comment”, jawabnya, ringkas sambil tersenyum.
Dalam perkembangan lain, Dato' Siti akan ke Indonesia bagi mengadakan perbincangan dengan pihak di sana, atas urusan mahu membawa produk Simplysiti menembusi pasaran di sana.
Dato Siti juga khabarnya akan melancarkan jenama minyak wanginya sendiri tidak lama lagi.
Selain itu, menjelang bulan April depan, Dato Siti bakal sibuk dengan persembahan sempena ‘Minggu Setiausaha’. Tahun ini Dato Siti akan membuat persembahan di Johor dan Kuala Lumpur.
- mD