Harith Iskander Mohon Maaf Tayang Perut Isteri
KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak popular, Harith Iskander tidak bermaksud mahu mendapatkan publisiti murah dengan menayang perut isterinya, Jezamine Lim Iskander yang mengandung lapan bulan.Gambar dia dan Jazamine yang menampakkan perut itu dikeluarkan menerusi akaun 'Twitter' miliknya.
Kata Harith, dia sebenarnya sekadar ingin berkongsi perasaan gembira dan teruja kerana bakal bergelar bapa pada Mac depan.
"Saya tak berniat pun mahu menunjuk-nunjuk tetapi sekadar ingin berkongsi kegembiraan dengan pengikut 'Twitter' saya.
"Walaupun menanti detik untuk bergelar bapa bukannya satu perkara luar biasa tetapi ia adalah perkara yang bukan biasa untuk diri saya kerana belum pernah merasai detik sebegitu," katanya.
Bagaimanapun, tambah Harith, dia meminta maaf sekiranya ada yang begitu sensitif mengenai isu gambar tersebut.
Bercerita mengenai detik kelahiran anak sulung yang ditunggu-tunggunya itu, Harith mengakui dia begitu teruja untuk menantikan saat-saat bahagia itu namun tidak mahu berlebih-lebihan dalam membuat persiapan.
"Saya dan isteri memang cukup teruja untuk menunggu saat kelahirannya dan kalau nak diikutkan hati, masuk kedai barangan bayi, rasa macam nak beli semua.
"Namun, kami cuba kawal perasaan itu dan mengamalkan konsep bersederhana. Tambah pula Jezamine tidak suka membazir, dia lebih suka mencari jualan barangan bayi yang murah di Internet kerana ia lebih berbaloi," ujarnya.
Sudah dapat restu keluarga
Sementara itu, pelawak yang bakal muncul dengan persembahan 'stand-up comedy' di Istana Budaya selama enam hari bermula Sabtu ini berkata, dia bersyukur kerana ibu dan bapa Jezamine yang sebelum ini tidak merestui perkahwinan sudah terbuka hati untuk menerimanya.
"Alhamdulillah, sudah setahun kami berdamai. Lagipun, sebelum ini saya tetap menganggap keluarga isteri macam keluarga sendiri.
"Saya faham perasaan mereka sebagai ibu bapa yang pastinya resah dan risau andai kata anak perempuan mereka tersalah pilih jodoh. Bagaimanapun, saya percaya, kehadiran cahaya mata kami nanti akan lebih mengeratkan lagi keakraban kami," ujarnya.
Harith telah mendirikan rumah tangga dengan Jezamine yang juga seorang doktor perubatan pada Julai 2010.
mStar