|

Dari Kelantan ke Old Trafford

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Pepatah ini amat sesuai ditujukan kepada Wan Mohamad Azren Wan Baharudin, 16, selepas terpilih sebagai pelatih terbaik Akademik Al-Hamra Red Warriors (Army), sekali gus berpeluang menyaksikan kelibat barisan bintang Manchester United.

Anak jati kelahiran Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu ini akan diterbangkan ke Old Trafford oleh Mister Potato yang juga rakan penaja juara 19 kali Liga Perdana Barclays itu pada hujung tahun ini.

Wan Mohamad Azren yang kini sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cengal berkata, dia tidak menyangka terpilih sebagai pelatih terbaik Army.

"Saya tak tahu nak kata apa, hanya mampu mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Mister Potato dengan hadiah yang diberikan.

"Ia merupakan hadiah bermakna buat saya. Saya tidak menyangka terpilih sebagai pelatih terbaik memandangkan saingannya cukup sengit dari rakan-rakan pelatih yang lain," kata Wan Mohamad Azren.

Tambahnya, peluang ke Old Trafford mahu digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman baharu dalam usaha meningkatkan lagi corak permainannya.

"Muncul sebagai pelatih terbaik Army merupakan titik tolak untuk saya terus maju dalam sukan bola sepak.

"Kejayaan ini merupakan satu permulaan baik buat diri saya, begitupun perjalanan masih lagi panjang dan saya perlu bekerja lebih keras untuk menyarung jersi The Red Warriors suatu hari nanti," ujarnya.

Anak muda yang beraksi di posisi tengah ini mengakui, dia meminati corak persembahan bintang United, Nani dan Paul Scholes yang disifatkan sebagai antara pemain terbaik.

Sementara itu, Pengurus Penajaan dan Activasi Mamee - Double Decker (M) Berhad, Sharszany Shahry Shahriman berkata, Wan Mohamad Azren akan ditaja sepenuhnya oleh Mister Potato yang merupakan antara penaja kelab gergasi England itu.

"Tajaan itu merupakan satu inisiatif yang dilakukan untuk memberikan pendedahan kepada bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak di negeri ini," katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 9:12 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Dari Kelantan ke Old Trafford"

Leave a reply

Blogged.my