5 tahun dirogol abang ipar!
Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun melalui detik hitam kerana bukan sahaja dipercayai dirogol abang ipar berulang kali sejak berusia enam tahun, malah dia turut diugut bunuh jika membocorkan perkara itu.Abang ipar mangsa juga mengambil kesempatan memperkosa mangsa dalam perjalanan menghantarnya ke rumah selepas mengambil mangsa dari sekolah.
Mangsa yang tinggal di sebuah kampung di Kemasik menjadi pemuas nafsu serakah abang iparnya sehingga berusia 11 tahun dan kali terakhir diperkosa pada Mac 2009.
Dia membuat laporan polis di Balai Polis Air Jernih pada jam 2.36 petang semalam.
Difahamkan, mangsa hanya memaklumkan kepada kakaknya pada 2009, menyebabkan dia terkejut. Namun kerana tidak mahu memanjangkan cerita, perkara itu tidak dilaporkan kepada polis.
Kakaknya yang kini dalam proses penceraian bertindak membuat laporan polis semalam agar tindakan dapat diambil terhadap suspek.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bertindak daripada laporan itu polis telah meninjau dan menyiasat lokasi yang menjadi tempat mangsa dipercayai dirogol di kawasan Bukit Kijang.
“Siasatan mendapati lokasi kejadian ialah dalam sebuah kebun pisang yang dikelilingi semak samun dan kebun getah milik orang. Lokasi kejadian jauh masuk ke dalam dengan jarak satu kilometer dari jalan utama Kampung Bukit Kijang.
“Lokasi kejadian juga bersifat tersorok dan sukar dilihat orang ramai tetapi lokasinya terang pada siang hari. Selain itu, siasatan juga mendapati tiada rumah orang berdekatan dengan tempat kejadian,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan polis kini memburu suspek, yang juga seorang bekas pekerja kilang.