|

Terowong pejalan kaki jadi tempat melempias nafsu dan dadah

MELAKA: Biarpun terowong pejalan kaki di bawah Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin) dibina bagi menghubungkan Kampung Bukit Palah dan Masjid Al-Azim, di sini, namun kebanyakan pejalan kaki lebih rela mempertaruhkan nyawa melintasi lebuh raya enam lorong berkenaan.

Terowong yang dibina sejak lebih 10 tahun itu jarang digunakan dan penduduk khuatir dengan tahap keselamatan di dalam terowong sepanjang 50 meter itu berikutan kurang kemudahan asas.

Malah, ada yang mendakwa terowong itu dijadikan tempat pasangan memadu kasih khususnya pada waktu malam termasuk pelajar.

Penduduk, Nordin Omar, 61, berkata keadaan terowong yang gelap berikutan lampu yang disediakan rosak selain persekitaran sunyi membolehkan terowong itu menjadi tumpuan pasangan muda melakukan perbuatan sumbang.

“Kami pernah menangkap beberapa pasangan. Dulu kawasan ini sunyi dan mereka suka memadu kasih di situ, malah pejalan kaki pernah menemui tilam atau tikar di dalam terowong itu, selain ia menjadi kawasan lepak Mat Gian.

“Pada waktu petang pula, terowong ini menjadi pilihan pasangan pelajar untuk berasmara. Namun kini, gerai berdekatan mula beroperasi dan ia dapat mengurangkan aktiviti tidak sihat di dalam terowong berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut Nordin, keadaan itu juga menyebabkan jemaah yang hendak ke masjid di situ untuk menunaikan solat Subuh takut menggunakan terowong berkenaan.

Katanya, cadangan untuk membina pagar supaya laluan itu boleh ditutup pada waktu malam diaju kepada pihak bertanggungjawab, tetapi ia tidak dapat dilaksana kerana tiada individu yang sanggup memegang kunci pagar bagi menjaga laluan berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Noorazman Ali, 40, berkata selain menjadi lokasi pasangan bercinta, terowong berkenaan juga kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada sistem perparitan yang menghubungkan longkang di terowong itu dengan longkang berhampiran tidak diselenggara dengan baik.

“Setiap kali hujan lebat terowong ini dinaiki air kerana longkang sedia ada tidak dapat mengalirkan air keluar.

“Keadaan ini menyukarkan pengguna untuk melalui terowong berkenaan, malah keadaan sistem perparitan yang tidak diselenggara dikhuatiri mengundang serangan haiwan berbisa,” katanya.

Menurut Noorazman, keadaan terowong berkenaan bertambah bahaya apabila lampu yang disediakan rosak sehingga laluan itu gelap.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Abdul Razif Ibrahim, berkata pihaknya akan mengarahkan kakitangan jabatan itu untuk turun padang meninjau masalah yang dihadapi dan mengambil tindakan segera.

“Bagaimanapun, cadangan memasang pagar tidak dapat dilaksanakan kerana ia laluan awam dan kami tidak boleh menutupnya,” katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:27 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Terowong pejalan kaki jadi tempat melempias nafsu dan dadah"

Leave a reply

Blogged.my