|

Rashid yakin anak-anak buah bakal lepasi pusingan kelayakan Piala Thomas

ATAS kertas, Malaysia diletakkan selaku pilihan kelima pada kempen kelayakan Piala Thomas 2012.Empat pasukan - China, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia bakal menjadi halangan utama Malaysia pada kempen kelayakan Piala Thomas 2012 yang akan berlangsung di Macau bulan depan.

Menjelang majlis undian kelayakan Piala Thomas 2012 yang berlangsung hari ini, ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek tanpa berselindung berharap anak-anak buahnya dapat mengelak menentang Korea Selatan berbanding China, Jepun mahupun Indonesia di peringkat suku akhir nanti.

Hanya empat pasukan terbaik dari kelayakan Zon Asia layak bersaing pada pusingan akhir di Wuhan, China bermula 20 hingga 27 Mei depan.

CHINA, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia.

Empat pasukan ini yang dijangka menjadi halangan utama Malaysia bagi memburu slot ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China Mei depan.

Mahu atau tidak, skuad negara terpaksa menerima hakikat bahawa salah satu lawan yang bakal menanti mereka dalam saingan peringkat kumpulan kempen kelayakan di Macau bulan depan adalah di antara empat pasukan tersebut.

China tampil sebagai pilihan pertama, diikuti Korea Selatan (kedua), Jepun (ketiga) dan Indonesia (keempat) yang mana keempat-empat pasukan tersebut akan dipecahkan dalam empat kumpulan berasingan.

Ia sekali gus meletakkan skuad negara tiada pilihan, selain perlu berdepan salah satu daripada empat pasukan tersebut dalam saingan peringkat kumpulan.

Dalam saingan peringkat kumpulan, peluang skuad negara untuk mara ke peringkat suku akhir sebagai naib juara kumpulan tampak cerah berdasarkan reputasi pasukan-pasukan lain yang turut mengambil bahagian pada kempen kelayakan kali ini.

Namun, skuad negara perlu cuba menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara jika tidak mahu berdepan laluan getir pada peringkat suku akhir.

Atas kertas, jika diletakkan satu kumpulan dengan China dan skuad negara hanya mampu bergelar naib juara sahaja, mereka berkemungkinan akan berdepan Korea Selatan, Jepun dan Indonesia pada peringkat suku akhir dan begitu juga sebaliknya.

Ini kerana, baik China, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia, pasukan-pasukan tersebut dijangka mudah untuk bergelar juara kumpulan.

Bagi ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, andai diberi pilihan, beliau tidak mahu skuad negara berdepan Korea Selatan di peringkat suku akhir.

Rashid berkata, Korea Selatan mampu menjadi pemusnah kepada harapan skuad negara berbanding China, Jepun dan Indonesia untuk mara ke peringkat separuh akhir, sekali gus menempah slot automatik ke pusingan akhir.

“Korea Selatan ada dua pasangan beregu yang kuat jika dibandingkan dengan skuad negara. Daripada situ sahaja mereka berkemungkinan boleh mendapat dua mata dan hanya perlukan satu mata sahaja lagi dalam acara perseorangan bagi mengesahkan kemenangan.

“Jika berdepan China pula, skuad negara sebenarnya masih ada peluang untuk menang. China tidak menghantar barisan pemain terkuat mereka pada kempen kelayakan kali ini, jadi kita masih ada peluang.

“Begitu juga jika berdepan Jepun dan Indonesia. Peluang untuk menang 50-50. Berdepan dua pasukan tersebut, satu mata daripada acara perseorangan sudah pasti memihak kepada skuad negara menerusi Datuk Lee Chong Wei.

“Manakala untuk perseorangan kedua, ketiga dan beregu pertama dan kedua kekuatannya adalah seimbang,” kata Rashid.

Hanya empat pasukan terbaik dari kelayakan Zon Asia layak bersaing pada pusingan akhir di Wuhan, China bermula 20 hingga 27 Mei depan.

Bagaimanapun, andai China berjaya bergelar juara pada kempen kelayakan, pasukan kelima terbaik akan layak ke pusingan akhir.

Kosmo!


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 11:09 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Rashid yakin anak-anak buah bakal lepasi pusingan kelayakan Piala Thomas"

Leave a reply

Blogged.my