|

Projek Letak Kereta Gagal, Guan Eng Kena Jawab!

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan projek bangunan letak kereta bertingkat berharga RM5 juta di kaki Bukit Bendera.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang kecewa dengan kegagalan projek terbabit, menuntut jawapan daripada Guan Eng selaku Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), agensi bertanggungjawab menguruskan projek itu yang dibiayai Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan.

“Saya kecewa kerana agensi bertanggungjawab gagal menguruskan projek seluas 0.24 hektar itu yang sepatutnya disiapkan tahun ini. Malah, Guan Eng kini mahu merobohkan bangunan itu, sekali gus dilihat membazirkan duit rakyat.

“Jika tempat letak kereta, mereka tidak boleh bina, apa lagi yang mereka boleh lakukan,” katanya.

Beliau berkata, Guan Eng bertanggungjawab memberi jawapan dan menegaskan peletakan jawatan seorang atau dua orang berhubung perkara itu tidak memadai kerana kegagalan projek terbabit adalah pembaziran dana awam.

Di GEORGETOWN, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, berkata rakyat negeri ini mempertikaikan kemampuan kerajaan negeri pimpinan Guan Eng yang terlalu kerap berpolitik sehingga terlupa memantau perjalanan projek yang dilaksanakan menggunakan duit rakyat.

“Inilah akibatnya apabila suka berpolitik, projek sendiri terlupa dipantau menyebabkan duit rakyat dibazirkan, dulu mereka tuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) membazir tanpa mengemukakan sebarang bukti, tetapi kini lihat siapa melakukan pembaziran.

“Saya tidak pasti sama ada kerajaan negeri mampu laksanakan projek mega iaitu terowong menghubungkan Bagan Ajam (bahagian Seberang Prai) ke Gurney (bahagian pulau), buat bangunan letak kereta pun tidak boleh,” katanya.

Sabtu lalu, kerajaan DAP Pulau Pinang memutus meroboh, mereka bentuk dan membina semula tempat letak kereta bertingkat di kaki Bukit Bendera seperti dicadangkan Lembaga Siasatan Negeri.-4/11/2011


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 10:48 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Projek Letak Kereta Gagal, Guan Eng Kena Jawab!"

Leave a reply

Blogged.my