|

Orang Melayyu tidak RASIS!

SHAH ALAM, 5 Dis (Bernama) -- Orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang mengamalkan sikap perkauman malah sanggup berkongsi kuasa dan adil kepada bangsa lain di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata Orang Melayu sentiasa mengamalkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dan sanggup menghulurkan tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang aman, bersatupadu dan lebih makmur.

"Oleh itu jangan sekali-kali mereka (orang bukan Melayu) mencuit perasaan orang-orang Melayu dengan hendak ubah apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan apa yang sudah pun kita rundingkan waktu Merdeka dahulu."

"Perkara-perkara ini kita akan pertahankan," katanya pada majlis perhimpunan PEKIDA Malaysia, yang dihadiri lebih 10,000 orang di Politeknik Sultan Salahahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari Isnin.

Katanya orang Melayu tidak mahu sesiapa cuba untuk merungkaikan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan Malaysia mesti dibina berasaskan Perlembagaan.

"Kita percaya dalam kerangka Perlembagaan kita, sama ada tersurat atau tersirat, sudah boleh kita membina sebuah negara yang adil dan saksama untuk semua kaum," katanya.

Najib berkata untuk itu pemerintahan Barisan Nasional (BN) perlu dipertahankan bagi membina Malaysia yang lebih berjaya berdasarkan Perlembagaan yang termaktub mengenai hak orang Melayu serta agama Islam sebagai agama Persekutuan yang tidak boleh dipertikaikan dan dirundingkan semula.

"Kita tidak nampak ada pilihan lain yang menjamin masa depan kita," katanya.

Najib berkata sekiranya sebelum berkuasa lagi mereka (pihak pembangkang) telah berura-ura untuk meruntuhkan apa yang telah dibina oleh kerajaan selama ini dan ini menyebabkan timbul kesangsian sekiranya mereka ini berkuasa.

"Belum lagi mereka berkuasa mereka telah berhasrat untuk mengurangkan separuh daripada kakitangan awam, termasuk para guru, anggota polis dan tentera. Siapa yang jadi mangsa kalau ratusan ribuan penjawat awam dibuang kerja mengikut perancangan mereka itu?", katanya.

Mereka juga ingin mengubah bendera Malaysia, mencemar kemuliaan Raja-Raja Melayu dan mempersoalkan dasar-dasar untuk membantu orang-orang Melayu dan Bumiputera, katanya.

Najib berkata rakyat tidak memerlukan sebuah parti keadilan tetapi kerajaan yang berani tegakkan keadilan sosial di mana semua termasuk bukan Melayu mendapat pelbagai bantuan dalam membina sebuah negara yang adil, seimbang dan saksama.

"Inilah cara kita memerintah negara kita sebab itulah Tuhan mengizinkan kita memerintah sejak 54 tahun lalu, kita masih berkuasa dan Insya Allah kalau ini gambaran sokongan kepada kita, pilihan raya akan datang milik kita," katanya.

Najib berkata pilihan raya akan datang milik BN kerana telah berjuang membela nasib rakyat, adil dan tidak pernah menyimpang daripada prinsip agama.

Selaku Perdana Menteri, saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan berharap rakyat memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk melakarkan masa depan yang baik, katanya.

Katanya masa depan yang baik adalah berdasarkan paksi realiti yang sebenar dan tidak seperti setengah pihak yang menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala.

Malah setakat ini dasar kerajaan telah berjaya mengubah nasib nelayan di mana anak nelayan seperti Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dari Pulau Pangkor, Perak, boleh berjaya menjadi Menteri Besar Perak, katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan ramai lagi mereka yang miskin dapat dibantu dalam bidang pendidikan dan untuk itu Tabung Peneraju Pendidikan Bumiputera dilancarkan.

-- BERNAMA


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 10:45 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Orang Melayyu tidak RASIS!"

Leave a reply

Blogged.my