|

Bas sekolah rempuh 8 kenderaan!

KUALA LUMPUR: Demi tugas, seorang pemandu ambulans memandu kenderaannya yang remuk ke pejabatnya di Sri Hartamas untuk menukarnya dengan ambulans lain bagi menghantar pemandu bas sekolah yang parah ke hospital.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, seorang pemandu bas sekolah parah selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah ambulans dan tujuh kenderaan lain di Dutamas Raya, Segambut.

Bagaimanapun, pemandu bas dikenali sebagai Deeva, 30-an, kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans hospital berkenaan yang tiba beberapa minit selepas ambulans gantian tiba.
Sumber trafik berkata, kejadian itu berpunca daripada bas sekolah berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke ibu negara hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh lapan kenderaan lain.

“Bas sekolah yang dalam perjalanan pulang dari menghantar pelajar sebuah sekolah antarabangsa itu merempuh empat kenderaan lain yang berada di hadapannya dan tiga kereta yang diletakkan di bahu kiri jalan termasuk sebuah kereta mewah jenis Lexus.

“Sebuah kereta kembara dirempuh dan dihempap bas itu kemudian diheret beberapa meter sebelum bas berkenaan melanggar sebatang pokok kelapa,” katanya.


Menurut seorang mangsa yang terselamat, Mohd Norrizki Mohd Suffian, 25, kejadian berlaku begitu pantas dan sekelip mata sebaik dia melalui selekoh menuruni bukit di jalan berkenaan.

“Saya nampak melalui cermin pandang belakang keadaan bas yang terhuyung-hayang dan hilang kawalan sebelum merempuh belakang kereta saya dengan kuat.
“Akibat rempuhan itu, saya melanggar sebuah teksi yang berada di hadapan sebelum terbabas ke laluan masuk sebuah kondominium,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengambil keterangan daripada beberapa mangsa.

Dalam kejadian berasingan di Kilometer 34.1 Lebuh Raya Karak arah Genting Sempah, sebuah bas ekspres yang membawa 20 penumpang hampir hangus selepas terbakar di bahagian enjin.

Difahamkan, kejadian itu disedari seorang penumpang yang ternampak kepulan asap sebelum menjerit memberitahu pemandu bas berkenaan.

Semua penumpang bagaimana pun selamat selepas pemandu bas bertindak memberhentikan bas di tepi jalan dan mengarahkan semua penumpang keluar menyelamatkan diri.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian berjaya memadamkan kebakaran.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:38 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Bas sekolah rempuh 8 kenderaan!"

Leave a reply

Blogged.my