|

Kemelut Kedah: PAS Pusat Gagal Capai Kata Putus

(Dari kiri) Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Salahuddin Ayub pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat PAS selepas mesyuarat hampir empat jam bagi membincangkan mengenai kemelut pentadbiran PAS Kedah. -fotoTHESTAR Oleh SAMUEL ON
KUALA LUMPUR: Mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bermesyuarat hampir empat jam gagal mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut yang melanda pentadbiran PAS Kedah.

Sehubungan itu satu lagi mesyuarat khas yang akan dipengerusikan sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal diadakan di Alor Setar pada Sabtu ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata kepimpinan tertinggi PAS akan bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi bagi menyelesaikan kemelut yang semakin berlarutan itu.

"Kami akan mengadakan perjumpaan mahabbah di antara kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar dan Datuk Phahrolrazi untuk kita selesaikan maslah ini.

"Kita bersetuju supaya apa pun perkara yang perlu diselesaikan, insyaAllah kita akan bincangkan pada hari Sabtu nnati," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PAS di sini, Jumaat.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Kemelut politik pentadbiran Kerajaan PAS Kedah bermula apabila dua exco, Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh enggan dilantik semula ke jawatan berkenaan.

Phahrolrazi yang mengakui hubungan dengan Azizan berada pada tahap kritikal telah meletakkan syarat jika Menteri Besar Kedah itu berhasrat melantik beliau semula.

Malah tekanan terus diberikan kepada Azizan apabila PAS Kawasan Kuala Kedah mendesak Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Datuk Amiruddin Hamzah yang baru dilantik semula pada Selasa lalu supaya melepaskan jawatan exco sebagai sokongan kepada Phahrolrazi sebagai Yang Dipertua PAS kawasan itu.

Amiruddin adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah.

Sementara itu Mohamad Sabu pada sidang media yang sama yakin pertemuan khas yang akan diadakan nanti mampu mencapai keputusan muktamad bagi menyelesaikan semua pertikaian yang timbul.

"Kami mengambil berat apa yang berlaku. PAS Pusat akan turun ke Kedah, berdialog dan bermesra dengan semua kepimpinan negeri termasuk Adun, Dewan Ulama Negeri dan Pemuda.

"InsyaAllah penyelesaian yang baik sedang diatur oleh kami. Kami yakin penyelesaian akan tercapai sebaik mungkin," katanya.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:48 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Kemelut Kedah: PAS Pusat Gagal Capai Kata Putus"

Leave a reply

Blogged.my