|

6 suspek kes bakar remaja ditahan

SHAH ALAM: Polis Selangor percaya dapat menyelesaikan kes seorang remaja lelaki yang terbakar 80 peratus badannya akibat dibakar di ladang kelapa sawit Sungai Tengi, Hulu Selangor, di sini, Ahad lalu, dengan tertangkapnya enam lelaki, pagi semalam.

Semua suspek di tahan di Labu Kubong, Teluk Intan, Perak jam 4.30 pagi hasil risikan dan intipan pegawai dan anggota di sebuah rumah milik keluarga seorang daripada suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek berusia 20 tahun hingga 25 tahun dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di rumah berkenaan selepas menyedari mereka menjadi buruan polis sejak Ahad lalu.

Katanya, polis akan menyiasat hubungan antara suspek dan mangsa dan siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud konspirasi antara kesemua suspek untuk membunuh mangsa.

Menurutnya, dua daripada suspek merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dua lagi jurujual butik di Damansara manakala seorang penjual burger dan penghantar surat.

“Siasatan mendapati kejadian yang menimpa mangsa bermotifkan dendam. Namun polis akan menyiasat secara menyeluruh bagi mengetahui peranan semua suspek dalam kes ini.

“Polis sebelum ini berjaya menahan dua pelajar wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berusia 19 tahun dan 20 tahun pada Selasa lalu di Shah Alam dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, petunjuk yang diperoleh daripada dua wanita terbabit membolehkan polis menahan semua suspek berikutan mereka mengenali antara satu sama lain.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan semua dibawa ke mahkamah bagi mendapat perintah tahanan reman hari ini (semalam).

Akhbar ini Isnin lalu melaporkan kes seorang remaja lelaki Muhammad Syahirudin Mohd Shauki, 19, yang terbakar 80 peratus badannya dan kini dilaporkan kritikal dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HS).

Mangsa dilaporkan di bawa tiga lelaki menaiki sebuah kereta dari Kota Damansara ke ladang sawit di Sungai Tengi, Hulu Selangor sebelum disimbah petrol ke seluruh tubuh dan dibakar.

Dalam keadaan terbakar, mangsa terjun ke longkang memadamkan api sebelum membuka pakaian hangus dan berjalan 400 meter meminta bantuan.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 10:22 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "6 suspek kes bakar remaja ditahan"

Leave a reply

Blogged.my