|

Wahai KEPALA MAHASEWEL, sila ikut prosedur!

Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) menasihatkan pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim mengikut prosedur jika mahu mengemukakan rayuan dan tidak menggesa pusat pengajian tinggi itu menarik balik hukuman penggantungan tiga semester yang dikenakan ke atasnya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Upsi, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, walaupun Adam Adli mempunyai hak untuk merayu, kenyataan media supaya universiti menarik balik hukuman dikenakan tidak menepati prosedur.

“Dia perlu buat rayuan supaya hukuman itu dikurangkan dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) akan meneliti rayuan sebelum memutuskan sama ada ia boleh dikurangkan atau dia terlepas daripada menerima hukuman.

“Tiada satu badan pun berkuasa untuk menarik balik hukuman yang dikenakan oleh universiti atau membatalkan hukuman yang dikenakan terhadapnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya belum melihat surat rayuan yang dikemukakan Adam Adli disebabkan cuti hujung minggu dan umum.

“Mungkin esok (hari ini) atau lusa kita menerima surat rayuan itu," katanya sambil menambah, LPU akan bermesyuarat dan menimbangkan rayuan berkenaan dalam tempoh sebulan.

Junaidi berkata, sebagai pelajar, Adam Adli terpaksa menerima hukuman yang dikenakan dan memanfaatkan peluang untuk membuat rayuan dengan sebaiknya.

“Kita bersedia menerima rayuan yang dikemukakan, malah ketika menemui dia di lapangan terbang di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini saya sendiri tanya pada dia bila mahu hantar surat rayuan.

“Jadi, dia kena tunjukkan surat itu dahulu kerana tiada kuasa yang boleh menghalang dan mengarahkan pihak universiti supaya mengabaikan surat itu,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan bahawa Adam Adli telah mengemukakan rayuan berhubung hukuman yang dikenakan terhadapnya, Jumaat lalu.

Rayuan berkenaan dikemukakan bagi memohon agar universiti menarik balik hukuman yang dikenakan ke atasnya.

Katanya, sekiranya rayuan kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu gagal, beliau akan membawanya kesnya ke mahkamah awam.

Sebelum ini, Adam Adli didakwa kerana menurunkan bendera tertera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Disember lalu.

Dia juga didakwa menyertai satu lagi demonstrasi di hadapan bangunan universiti tersebut pada malam sambutan tahun baru 2012.

Sehubungan itu, jawatankuasa universiti membuat ketetapan bahawa tindakan Adam Adli telah merosakkan kepentingan, kesejahteraan nama baik universiti, penuntut dan kakitangan universiti serta ketenteraman keselamatan awam, moral, kesopanan dan tatatertib.

Adam Adli digantung pengajian selama tiga semester bermula Semester II Sesi 2011/12.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 8:43 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Wahai KEPALA MAHASEWEL, sila ikut prosedur!"

Leave a reply

Blogged.my