|

Skuad negara memang tidak mampu menang Piala Thomas - BAM

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh meminta semua pihak berpegang pada realiti bahawa skuad Piala Thomas negara tidak mampu memenangi trofi itu tahun ini.

Katanya dengan barisan pemain sedia ada, mustahil untuk skuad kali ini menamatkan kemarau 20 tahun kejohanan berpasukan badminton paling berprestij itu.

“Kita tak boleh buat apa-apa lagi sekarang, realitinya kita tiada skuad Piala Thomas yang mantap untuk membawa pulang trofi itu,” kata Nadzmi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kenyataan bekas presiden, Tan Sri Elyas Omar yang menuntut pengurusan BAM bertanggungjawab andai skuad kali ini gagal mara ke pusingan akhir di Wuhan, China 20 hingga 27 Mei ini.

“Pada masa ini peluang kita adalah di Olimpik menerusi Datuk Lee Chong Wei. Itulah sasaran paling realistik yang kita ada kerana peluang menang pingat emas pertama amat besar.

“Lagipun hanya Chong Wei saja pemain kita yang kuat. Beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula ‘goyah’, itu sebab kita tidak mampu memenangi Piala Thomas.

“Berdasarkan peluang cerah di Olimpik, biarlah kita cuba bersungguh-sungguh. Lagipun kerajaan lebih menekankan pingat emas Olimpik berbanding Piala Thomas,” kata Nadzmi.

Skuad Piala Thomas negara buat kali pertama berdepan ancaman gagal ke pusingan akhir, bukan hanya kerana ketandusan pemain berkualiti, malah disebabkan peningkatan pasukan lain seperti Jepun dan Thailand.

Skuad negara yang akan menjalani perlawanan simulasi esok akan beraksi di pusingan kelayakan di Macau 13-19 Februari ini, diundi sekumpulan dengan Korea dan Hong Kong.

Skuad Piala Thomas negara membuka cabaran menentang Hong Kong jam 9 pagi 14 Februari ini sebelum menentang Korea keesokan harinya.

Kemenangan ke atas Hong Kong pada perlawanan pertama amat penting bagi mengesahkan skuad negara layak ke suku akhir sebelum mencongak pertemuan dengan lawan yang tentunya lebih mencabar di saingan kalah mati itu.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 6:44 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Skuad negara memang tidak mampu menang Piala Thomas - BAM"

Leave a reply

Blogged.my