|

Remaja lahir anak luar nikah 'reka cerita' ditahan

Bimbang rahsianya melahirkan anak tidak sah taraf terbongkar, seorang pembantu kedai sanggup mengadakan cerita termasuk kepada media, kononnya bayi itu ditinggalkan di rumahnya oleh seorang warga emas.

Namun tindakan wanita berusia 22 tahun itu berjaya dibongkar polis yang menyiasat kes 'penemuan' bayi lelaki di atas alas kaki di sebuah rumah di Kampung Beladau di sini, dan membawa kepada penahanannya pukul 3.30 petang semalam.

"Terdapat laporan yang bercanggah dibuat dan hasilnya kita mengesyaki remaja terbabit tidak bercakap benar.

"Hasil siasatan lanjut ke atas tempat tinggal remaja itu, polis telah menjumpai dan mengambil bukti beberapa barangan yang dipercayai ada kaitan dengan bayi berkenaan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan, di sini hari ini.

Beliau berkata wanita itu yang berasal dari Manir dan tinggal bersama ibu bapa angkat di kampung tersebut juga mengakui melahirkan bayi berkenaan dan berbuat demikian kerana tidak mampu menjaganya.

"Sebelum ini, ibu bapa angkat remaja berkenaan telah mengesyaki dan bertanyakan sesuatu namun dinafikan remaja itu," katanya.

Manoharan berkata wanita berkenaan yang kini direman empat hari, telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk pemeriksaan lanjut serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik atau DNA.

Katanya polis juga percaya akan dapat mengesan bapa bayi berkenaan tidak lama lagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 371 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan Seksyen 182 kanun yang sama kerana membuat laporan palsu.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas yang menutup hampir keseluruhan mukanya dengan sehelai kain, bertindak meninggalkan seorang bayi di rumah terbabit sebelum ditemui oleh penghuni rumah itu, seorang wanita berusia 22 tahun pada Jumaat lepas di Kampung Beladau. - Bernama


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 7:43 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Remaja lahir anak luar nikah 'reka cerita' ditahan"

Leave a reply

Blogged.my