|

Presiden Pas tiada keperluan ganti Hadi

Pas tiada keperluan untuk mencari presiden baru ekoran tawaran Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu bertanding lagi dalam pilihan raya umum kali ini.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub juga berkata, selain merasakan masih terlalu awal untuk pihaknya membincangkan perkara tersebut, tidak ada faktor atau persekitaran yang menolak kepimpinan Abdul Hadi, yang mengambil alih jawatan presiden satu dekad yang lalu.

Abdul Hadi menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Nor.

"Itu terlalu awal untuk kita bincangkan, dan itu pun saya rasa tidak ada faktor-faktor yang penting bagi kami di peringkat kepimpinan untuk membincangkan perkara itu.

"Segalanya berjalan dengan baik pada hari ini. Pas juga sudah berada dalam satu posisi yang cukup penting khususnya dalam Pakatan Rakyat," kata beliau dalam temu bual dengan Sinar Harian Online.

Sambil menekankan bahawa Abdul Hadi telah membawa parti ke satu peringkat begitu penting pada hari ini, Salahuddin menambah, "bagi saya, sekali lagi mengulangi, beliau tiada isu, tiada faktor-faktor menolak pada masa dan ketika ini."

"Tidak ada, tidak ada. tidak timbul isu itu langsung dalam perbincangan parti kami.

"Pada masa ini, apakah perlunya menukar seorang presiden? Itu tidak ada keperluan buat masa ini," kata beliau ketika ditanya sama ada kepimpinan pusat parti Islam itu akan membincangkan keperluan mencari pengganti Abdul Hadi peringkat parti jika beliau tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Abdul Hadi mempertahankan kerusi presiden tanpa cabaran pada pemilihan Jun lalu. Timbalannya ialah Mohamad Sabu.

Dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian minggu lalu, Abdul Hadi berkata, beliau berhasrat untuk bertanding pada PRU13 bagi memberi laluan kepada tenaga muda.

Jikapun diperlukan katanya, beliau yang kini merupakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) hanya akan bertanding satu kerusi sahaja.

Mengulas lanjut kenyataan Abdul Hadi itu, Salahuddin berkata, "pertama saya melihat, tok guru (Abdul Hadi) bercakap dalam konteks dia seorang pemimpin kepada sebuah parti yang sudah berusia lebih 60 tahun."

"Saya rasa manifestasi daripada ucapan beliau itu menggambarkan tentang jiwa besar dia sebagai seorang pemimpin, yang saya yakin dan percaya bahawa beliau ingin melihat kelangsungan perjuangan dan ucapan itu menggambarkan beliau telah menjadikan... bahawa jawatan dan kedudukan dalam parti bukan segala-galanya, bukan sesuatu yang saya anggap presiden ingin mengajar ataupun mendidik kita bahawa perjuangan dapat mencapai matlamat menduduki jawatan atau memenangi atau bertanding dalam mana-mana pilihan raya," katanya.

Salahuddin menambah, beliau secara peribadi merasakan kepimpinan Abdul Hadi masih lagi diperlukan dan "(kepimpinan) beliau, masa yang kritikal ini, masih lagi diperlukan, untuk memimpin Pas, dan apatah lagi dalam konteks kita dalam Pakatan Rakyat."

"Dan, saya juga yakin dan percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga masih memerlukan gandingan mantap daripada Datuk Seri Presiden untuk terus berada dalam Pakatan Rakyat, dan apatah lagi dalam keadaan kita bercakap kita ingin ke Putrajaya, jadi saya rasa dalam konteks ini, saya sendiri berpandangan bahawa Datuk Seri Presiden masih diperlukan untuk memimpin dan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang," tambah beliau.

Salahuddin juga menolak andaian bahawa hasrat Abdul Hadi itu akan menjejaskan misi PR menghadapi PRU13.

"Saya rasa tidak. Sama sekali tidak sebab kita tidak ada krisis yang menyebabkan satu keperluan untuk tidak bertanding.

"Jadi kita telah membina bersama PR ini dalam dekad dan waktu yang begitu singkat dan kita pun baru berusia empat tahun. Segalanya berjalan dengan baik, dan kita telah berjaya mengadakan tiga kali konvensyen yang besar, dan memberikan impak yang penting dalam politik tanah air kita.

Konvensyen pertama melahirkan dasar-dasar umum, konvensyen kedua melahirkan Buku Jingga dan konvensyen ketiga melahirkan dasar-dasar yang bakal kita terjemahkan dalam manifesto dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau juga tidak melihat ada keperluan untuk membincangkan hasrat Abdul Hadi untuk tidak bertanding.

Pas akan mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat pada 12 Februari ini.

Katanya, perkara itu tidak berbangkit sama sekali dan Pas, selain PR, masih memerlukan gandingan beliau.

Menjawab soalan sama ada kenyataan Abdul Hadi itu akan menjejaskan persiapan PR menghadapi PRU13 dan misi ke Putrajata, Salahuddin memberitahu: "Jadi, saya rasa kenyataan Datuk Seri Hadi itu tidak langsung menjejaskan komitmen kami dalam PR."

"Ia hanya satu kenyataan biasa daripada seorang pemimpin yang menggambarkan matlamat perjuangan bukan bertanding dan memegang jawatan semata-mata," katanya.

Salahuddin juga berkata, apa yang diperkatakan Abdul Hadi bukan sesuatu yang drastik.

"Saya rasa itu bukan konteks yang beliau maksudkan, saya rasa apa beliau menawarkan ialah beliau mungkin tanding satu kerusi sahaja kerana beliau selama hari ini, bertanding dua kerusi iaitu kerusi Parlimen dan kerusi Dun.

"Jadi apa yang beliau ingin fokuskan sekarang ialah kerusi Parlimen, yang besar kemungkinan itulah, itulah beliau tetapkan beberapa hari lalu, berkemungkinan beliau tidak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri," katanya lagi.


Share/Bookmark
Posted by Admin Padang Temusu on 7:54 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Feel free to leave a response

0 comments for "Presiden Pas tiada keperluan ganti Hadi"

Leave a reply

Blogged.my